IPD Tawau lupus barang kes judi internet lebih RM2.7 juta

 

TAWAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melupuskan barang kes kegiatan perjudian internet bernilai lebih RM2.7 juta hasil tangkapan sejak tahun 1999 hingga 2014.

Ketua Polis Daerah, ACP Fadil Marsus ketika sidang media berkata, kesemua barangan kes yang dilupuskan itu telah berjaya diselesaikan melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Menurutnya, antara barang kes yang dimusnahkan itu adalah mesin rampasan (1224 buah), mesin slot (321), set komputer (903), meja (15) dan kerusi (407) dan perabot lain yang membabitkan 90 kes perjudian secara keseluruhan.

“Sebenarnya pihak polis telah melakukan pelupusan secara kecil-kecilan pada masa yang lepas bagi mengelakkan longgokan barang-barang itu di balai,” katanya.

Jelasnya, tahun 2013 telah mencatatkan kes rampasan perjudian paling tinggi iaitu sebanyak 31 kes diikuti tahun 2012 dengan 25 kes manakala tahun 2011 hanya sembilan kes.

Fadil berkata, selepas proses pelupusan yang dilakukan itu, pihaknya akan meneruskan operasi membanteras kegiatan perjudian di daerah ini.

Terdahulu kerja pelupusan barangan berkenaan telah dilakukan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kelmarin.

Kerja pelupusan itu turut disaksikan wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mahkamah Tawau dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-OLEH NAZRINI BADARUN

 
By : NAZRINI BADARUN
 
New Sabah Times