Persempadanan semula: Yahya sifatkan dakwaan pemimpin kanan PKR tidak berasas

 

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin menyifatkan dakwaan pemimpin kanan PKR kononnya persempadanan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memberi ruang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama yang memperolehi Mykad secara meragukan, untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai dakwaan melulu dan tidak berasas.

Beliau berkata ini kerana seorang yang layak mengundi hanyalah warganegara Malaysia dan proses untuk menjadi warganegara Malaysia amat ketat dan mesti mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Kalau ada yang mendapati seseorang (pengundi) mempunyai kewarganegaraan yang meragukan atau diperolehi secara tidak sah seperti yang didakwa … sesiapa pun boleh membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dakwaan tinggal dakwaan dan cerita politik pihak pembangkang yang sengaja mengada-adakan cerita jika tidak ada bukti.

“Kalau ada bukti bawa ke mahkamah dan memang tidak dinafikan bahawa hampir setiap hari ada sahaja kes warga asing didakwa di mahkamah kerana memiliki kad pengenalan atau mykad palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini, kelmarin.

 
By :
 
New Sabah Times