Polis Sabah rampas 5kg syabu bernilai RM600,000, tahan dua suspek

 

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merampas 5kg dadah jenis syabu bernilai RM600,000 serta menahan dua suspek disyaki pengedar dadah, Isnin lalu.

Ketua JSJN Sabah Supt Mohamed Fadzil A. Rahman berkata dadah berkenaan diisi dalam lima bungkusan di dalam tiga kotak yang ditemukan dalam sebuah beg kertas dibawa suspek berumur 31 tahun yang ditahan di kawasan Jalan Gaya, di sini.

Katanya penahanan lelaki itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berumur 35 tahun di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang merupakan rakyat tempatan ditahan pada Isnin lepas antara 5 petang hingga 6 petang.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” kata Mohamed Fadzil kepada pemberita di sini kelmarin.

Turut dirampas daripada kedua-dua suspek ialah sebuah kereta jenis Perodua Axia, sebentuk cincin dan seutas rantai yang keseluruhannya bernilai RM37,660, katanya.

Mohamed Fadzil berkata kedua-dua suspek kini direman sehingga 4 Sept untuk siasatan. Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

 
By :
 
New Sabah Times