Pertandingan Pemuda Umno Batu Sapi dijangka sengit

 

SANDAKAN: Pertandingan di peringkat Pergerakan Pemuda Umno Batu Sapi dijangka sengit apabila dua calon yang merebut jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian merupakan dua belia berwawasan dan memiliki karisma kepimpinan tersendiri.

Walaupun Ketua Pemudanya iaitu Khairul Firdaus Datuk Haji Akbar Khan sudah pun menang tanpa bertanding namun tumpuan pastinya terarah siapakah yang layak untuk dinobatkan menjelang pemilihan 12 Oktober ini.

Ini adalah kerana, pertandingan satu lawan satu itu menyaksikan pertembungan hebat apabila Penolong Bendahari Pemuda, Azmi Haji Jamal dan Ketua Umno Cawangan Kampung Bokara, Yasser Rashdan Haji Hamdan bakal berentap untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Yang pasti, Azmi merupakan calon bahagian mengambil kira kedudukannya di dalam pergerakan pemuda dijangka menerima saingan sengit ekoran keputusan Yasser untuk bertanding kali ini adalah atas sokongan suara perwakilan pemuda cawangan.

Bercakap kepada New Sabah Times semasa dihubungi di sini kelmarin, Yasser, 29, dari Kampung Bokara memberitahu samada dia menang atau pun tidak misi murninya ini akan tetap diteruskan bersama-sama kepimpinan Pemuda Umno Batu Sapi selepas ini.

Jauh di sudut hatinya, Yasser ingin membantu pergerakan itu untuk lebih kukuh dan sekali gus memacu kekuatan parti sebagaimana transformasi di dalam pemuda sendiri kerana apa yang mustahak sumbangan kepada kekuatan parti merupakan perkara paling pokok.

“Keputusan untuk bertanding ini bukan dibuat suka-suka … sebenarnya, matlamat dan wawasan saya adalah untuk membantu pemuda demi masa hadapan parti keramat Umno selain menjadikan landasan baru Pemuda Umno Batu Sapi sebagai pemuda yang berpersatuan,” ujar mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bokara ini.

Berikut adalah latarbelakang dan penglibatan Yasser dalam persatuan dan badan-badan NGO di Sandakan. Beliau adalah merupakan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Hira Negeri Sabah dan juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Hira Daerah Sandakan.

Badan NGO ini adalah pertubuhan dakwah dan kebajikan terutama dalam memastikan golongan muda berkecimpung dalam apa jua aktivitinya.

Yasser juga merupakan Penasihat II Pertubuhan Seni Bela Diri Negeri Sabah atau pun Sabah Martial Art (SMART) yang mana pertubuhan tersebut dipengerusikan oleh Fairul Zaman selaku Yang Dipertua (YDP) Persatuan Seni Silat Gayong Sabah.

Yasser adalah anak kepada Setiausaha Umno Bahagian Sandakan iaitu Haji Hamdan Dikong.

Dalam pada itu, pertandingan di peringkat Pengerusi Tetap Pemuda turut menyaksikan persaingan sengit apabila Ketua Penerangan Pemuda Bahagian, Saparudin Abu akan dicabar wartawan dan videographer terkemuka, Mohammed Rozzalin Haji Mohd Hasim untuk jawatan berkenaan secara satu lawan satu.

Begitu juga jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda menyaksikan pertandingan di antara Nasip @ Tomi dengan muka baru Haji Safrizan Jailani.

Difahamkan bahawa seramai 25 orang akan bertanding untuk merebut jawatan ahli jawatankuasa pemuda pada pemilihan kali ini.

 
By : OLEH ROZZALIN HASHIM
 
New Sabah Times