Mayor harap IPT lahir graduan miliki pengurusan dan keusahawanan |
KOTA KINABALU: Mayor Datuk Iliyas Ibrahim berharap institusi pengajian tinggi di negeri ini termasuk Politeknik Kota Kinabalu bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang akademik, tetapi memiliki kemahiran pengurusan dan keusahawanan. Menurutnya, kesimbangan ini perlu kerana pelanggan atau majikan yang mahu mengaji graduan institusi pengajian tinggi juga memerlukan penekanan terhadap aspek pengetahuan perkhidmatan yang cekap, cepat dan mesra. Sebagai contoh, katanya industri memerlukan graduan yang cekap, pekerja IPT menuntut suasana kerja termasuk imbuhan yang menarik dan pelajar pula mengharapkan kelengkapan yang canggih. Sehubungan itu, beliau berkata dalam konteks politeknik, perkhidmatan pengajaran yang bermutu menjadi wajib kerana ia adalah ‘core business’ (teras perniagaan) yang dibentuk oleh IPT berkenaan untuk memastikan graduan menjadi pekerja yang berkualiti yang dapat memenuhi kehendak pasaran tenaga kerja. “Kita tidak mahu graduan sains tanpa kepakaran komputer menjadi punca merugikan pengguna atau graduan pengurusan yang kurang kefahaman aspek sains dan teknologi pula boleh berada pada kedudukan ‘disadvantage atau graduan kejuruteraan yang tidak tahu perihal pengurusan dan keusahawanan,” katanya. Beliau berucap pada majlis perasmian Edufest Politeknik-Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) Zon Sabah dan Sarawak di Dewan Refflesia, Politeknik Kota Kinabalu di sini, kelmarin. Tiga polikteknik yang menganjurkan program berkenaan ialah Polikteknik Kota Kinabalu, Polikteknik Mukah dan Polikteknik Kuching. Turut hadir ialah Pengarah Polikteknik Kota Kinbalu, Azizi Lin. Iliyas berkata, kepelbagaian penguasaan graduan selain kecemerlangan akademiknya menjadi penting kerana dengan pengetahuan pengurusan dan keusahawanan akan memastikan mereka mampu berdikari atau mampu mencipta kerja sendiri dalam pelbagai bidang pekerjaan. Menurutnya, dengan hasrat kerajaan memberi penekanan terhadap modal insan, pembangunan jiwa manusia dan perpaduan kaum, adalah penting IPT memanfaatkan sepenuhnya sumbangan pendidikan dan latihan untuk diselaraskan dengan Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri serta Wawasan 2020 negara maju. “Hal ini penting untuk jangka masa panjang kerana kita mahu mencapai matlamat dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” tegasnya. Sehubungan itu, beliau berharap belia atau graduan berkenaan tidak semata-mata berharap kerja berkolar putih, sebaliknya merebut pelbagai peluang kejayaan secara berdikari untuk kejayaan hidup masing-masing. ”Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap penyertaan usahawan Bumiputera dalam proses kemajuan negeri khusus dalam bidang perniagaan seperti Pelan Tindakan sepuluh tahun untuk menjadi panduan membangun usahawan Bumiputera kita dalam sektor ekonomi,” katanya. Itu sebab pada hematnya, IPT pada hari ini tidak lagi sekadar berfungsi memindahkan ilmu, sebaliknya sebahagian daripada industri yang mustahak diberi nilai tambah ilmu untuk memenuhi aspek kualiti sumber tenaga manusia. “Selaku Mayor bagi sebuah bandar raya yang berkembang pesat, saya amat gembira kerana perkembangan IPT di sini membantu merancakkan usaha sedang dilaksanakan khusunya bidang pendidikan,” katanya. Menurutnya, dengan adanya program Edufest Politeknik-Politeknik KPTM ini diharap akan merangsang semangat graduan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan pengetahuan pentadbiran dan keusahawanan. Katanya, langkah ini juga akan membolehkan pihak tertentu khususnya swasta untuk membantu pelajar mendapat pendedahan dalam pelbagai bidang pekerjaan sesuai dengan semangat Dasar Persyarikatan Malaysia demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Sementara itu, Azizi semasa berucap berkata program dua hari itu untuk menjalin hubungan baik antara politeknik terbabit selain pendedahan kepada pelajar dan pensyarah mengenai kemahiran yang perlu untuk membina kerjaya termasuk bidang keusahawanan. Menurutnya, seperti polikteknik KPTM yang lain, pihaknya juga memberi penekanan terhadap latihan membina jati diri, disiplin dan sukan untuk memastikan mereka tidak terbabit dalam gejala sosial. “Latihan kepada pelajar akan meningkatkan tahap kemahiran mereka supaya apabila keluar politeknik kelak, semua pencapaian akademik dan pengetahuan berdikari dapat dimanfaatkan untuk menyara hidup masing-masing,” katanya. Menurutnya, program berkenaan turut mengadakan sesi temu duga pelajar membabitkan wakil industri yang berminat untuk mena-warkan pekerjaan kepada pelajar terbabit. |
| By : OLEH YATIM TAUBATAL ANDAM |
| New Sabah Times |