Tumpu pembangunan di kawasan luar bandar: Ronald

 

BELURAN: Kerajaan harus menumpukan pembangunan di kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun akan datang ini.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee berkata, ia penting untuk mengimbangi tahap pembangunan yang sedia ada.

Katanya, mandat yang besar d beri oleh penduduk luar bandar jelas menuntut kerajaan untuk melakukan lebih banyak pembangunan di kawasan tersebut khususnya berkaitan kemudahan asas.

“Peruntukan untuk kemudahan asas bekalan elektrik, air dan jalan penghubung perlu ditambah oleh kerajaan untuk kemudahan penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena sambutan Kaamatan di Kampung Kuala Sapi dekat sini, kelmarin.

Menurut Ronald, keputusan pilihan raya umum yang lalu jelas menunjukkan kerajaan perlu terus memberi tumpuan kepada pengundi di luar bandar bagi mengekalkan pengaruh dan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, tumpuan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan asas luar bandar penting bagi mengimbangi jurang pembangunan yang ada sedia kala.

“Sokongan masyarakat luar bandar harus diterjemahkan dengan program pembangunan yang lebih rancak.

“Luar bandar perlu peruntukan lebih besar untuk tempoh lima tahun ini bagi membolehkan mereka merasa lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata, kawasan Parlimen Beluran masih banyak kampung di luar bandar belum menerima kemudahan asas yang lengkap khususnya di kawasan Paitan.

Katanya, kemudahan jalan raya amat diperlukan bagi membolehkan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih rancak di sesebuah kawasan.

Ronald berkata, pembangunan di kawasan luar bandar akan menjadi keutamaan beliau untuk lima tahun ini dan diperjuangkan di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi mendapatkan peruntukan lebih.

 
By : OLEH JAMES LEONG
 
New Sabah Times