Projek naik taraf Jalan Putatan – Lok Kawi dijangka siap 2015: Yahya

 

PUTATAN: Projek menaiktaraf Jalan Putatan – Lok Kawi melibatkan kos kira-kira RM132 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2015.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata projek menaiktaraf jalan raya itu yang melibatkan kerja-kerja pembesaran dan penambahan satu lagi laluan menjadikannya tiga laluan akan bermula daripada jambatan Petagas menghala ke persimpangan Lok Kawi.

“Seperti yang telah dijanjikan semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, jalan berkenaan akan ditambah satu lagi laluan menjadikannya tiga laluan atau lorong.

“Saya dapat taklimat daripada pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kerja-kerja menaiktaraf jalan raya ini telah pun dimulakan pada 10 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan kemajuan Projek Menaiktaraf Jalan Kepayan dari Jambatan Petagas menghala ke Persimpangan Lok Kawi Fasa 1B (KM 3.4 ke KM 6.0), di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas berkata, projek itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pertama dari Sungai Petagas berdekatan lapangan terbang (KKIA) ke Sungai Putatan dan dari Sungai Putatan sehingga ke Lok Kawi melibatkan pembinaan jambatan konkrit iaitu jambatan Sungai Ketiau, Meruntum dan Putatan.

“Bagi pembinaan fasa pertama ia melibatkan jalan raya sepanjang 3.4 kilometer dan fasa kedua sepanjang 2.6 kilometer,” katanya.

Beliau berkata, penambahan satu lagi lorong sedia ada itu amat penting bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya serius yang berlaku ketika ini.

Katanya, kesesakan yang berlaku di jalan berkenaan terutama pada waktu puncak disebabkan pengguna jalan raya yang menuju ke bandar raya Kota Kinabalu pada masa ini tidak mempunyai jalan alternatif lain.

“Kita minta para pengguna jalan Putatan-Lok Kawi supaya bersabar semasa pembinaan ini dijalankan kerana ia akan melibatkan pengubahan laluan atau pengwujudan jambatan sementara untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan di sepanjang jalan ini,” katanya.

Yahya berkata, apabila siap kelak penaiktarafan jalan raya itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Putatan tetapi juga kepada masyarakat seluruh Sabah terutamanya dari kawasan pedalaman, Sipitang, Beaufort dan juga dari negara jiran seperti Brunei dan Sarawak.

“Ini kerana dengan wujudnya jalan Sepulut -Kalabakan, mereka yang berada dari Tawau, Lahad Datu dan Semporna akan menggunakan jalanraya Kimanis seterusnya menggunakan jalan Putatan. Ini adalah permulaan kepada kesinambungan lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Semasa tinjauan, Yahya diiringi oleh Pegawai Daerah Putatan, Ag.Abd.Ghani Pg.Yusoff, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Putatan, Ali Hussin Ag.Sharin, Setiausaha Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Awang Saifudin Haji Jumat.

Beliau dan rombongan diberi taklimat mengenai perkembangan dan kemajuan projek itu oleh Jurutera JKR Kepayan, Ir. Ong Ou Ping.

Projek Fasa 1B itu melibatkan kos sebanyak RM65,804,705 dimulakan 10 April lalu dan dijangka siap pada Oktober 2015. Ia melibatkan penaiktarafan daripada dua lorong jalan raya kepada tiga lorong.

Projek itu yang dilaksanakan oleh kontrantor Borneo Era Sdn.Bhd juga melibatkan pembinaan tiga jambatan konkrit di Sungai Putatan, Sungai Ketiau dan Sungai Meruntum.

 
By : OLEH MARRYAN RAZAN
 
New Sabah Times