Rompak: Lelaki dipenjara 43 tahun, 6 sebat |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sejumlah 43 tahun dan enam sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen kerana tiga kesalahan merompak. Hakim Caroline Bee Majanil menjatuhkan hukuman itu ke atas Syazwi Azreen Jusoh, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua dakwaan itu. Bagaimanapun, Syazwi hanya akan menjalani hukuman selama 16 tahun dan enam rotan selepas mahkamah mengarahkan hukuman itu berjalan serentak. Sementara itu seorang warga asing, Mohd Irwan Tandi @ Arwan, 26, yang didakwa bersama Syazwi terhadap dakwaan ketiga, juga diarahkan hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan rotan. Mohd Irwan juga diarahkan di rujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara. Dakwaan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman 13 tahun terhadap Syazwi dan dua sebatan rotan kerana merompak beg tangan seorang wanita berumur 37 tahun yang mengandungi dokumen peribadi, kad ATM, wang tunai RM300, gelang emas dan telefon bibit. Syazwi bersama seorang yang masih bebas juga membawa lari kereta dan kunci mangsa pada 23 Jan di Palm Beach Villa di Kinarut. Kesalahan ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan rotan jika sabit kesalahan. Syazwi juga dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dua sebatan kerana merompak seorang warga emas berusia 55 tahun dan mengakibatkan kecederaan kepada mangsa. Menurut fakta kes Syazwi bersama dua orang yang masih bebas merompak wang tunai RM2, 000 dan keretanya menggunakan besi pada 12 Feb kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah kedai runcit di Taman BTC, Kolombong Inanam. Dia melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 394 Kanun Kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau rotan. Untuk dakwaan ketiga Syazwi dan Mohd Irwan bersama seorang yang masih bebas merompak seorang wanita berusia 38 tahun keretanya, wang tunai RM5,000 dan dua telefon bimbit menggunakan parang. Mereka melakukan kesalahan itu pada 27 Mac kira-kira jam 6.15 pagi di tepi jalan berdepan dengan sebuah sekolah di Putatan. Kesalahan ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Kesiksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun yang sama. Timbalan Pendakwa Raya, Afzan Abd Kahar bertindak sebagai pendakwa. |
| By : oleh Ersie chell anjumin |
| New Sabah Times |