PPM Lahad Datu tumpas cubaan seludup masuk rokok

 

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk rokok ke perairan daerah ini, selepas menangkap tiga lelaki dan merampas sebuah jongkong yang membawa muatan 5000 bungkus rokok pelbagai jenis, semasa menjalankan Ops Landai di perairan Pantai Tungku, dekat sini awal pagi Rabu.

Kesemua rampasan yang melibatkan sebuah jongkong yang menggunakan dua enjin sangkut (40hp) serta rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM87,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin Mat berkata, rampasan hasil maklumat awam itu dibuat pada kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan lima anggota PPM yang membuat rondaan Ops Landai di kawasan tersebut.

“Semasa menjalankan rondaan, anggota PPM yang menaiki botronda RH8 telah terserempak dengan sebuah bot yang mencurigakan di kawasan perairan pantai itu.

“Setelah diperiksa, anggota terbabit telah menemui 5000 bungkus rokok pelbagai jenama dan menahan seorang juragan serta dua anak perahu yang berada dalam jongkong tersebut,” katanya dalam sidang media di Pangkalan PPM Lahad Datu, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Lahad Datu, Asisten Superitenden Rusdin Banin.

Tambahnya, hasil pemeriksaan kesemua rokok-rokok yang dirampas itu dipercayai cuba diseludup ke kawasan Tungku untuk pasaran tempatan.

“Tiga lelaki yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 28 tahun dan tidak memiliki sebarang pengenalan diri.

“Kesemua rampasan dan tangkapan kemudian di bawa ke pangkalan PPM dan diserah kepada jabatan kastam untuk siasatan lanjut,” katanya.

 
By : OLEH MARLINA MACPEE
 
New Sabah Times