Pemborong naikkan harga, penjual daging merungut

 

KOTA KINABALU: Sikap pemborong yang sesuka hati menaikkan harga dan jumlah bekalan yang tidak menentu memberi kesusahan kepada penjual daging di sekitar Kota Kinabalu.

Melalui tinjauan yang dibuat oleh New Sabah Times di Pasar Besar, di sini, kelmarin mendapati rata-rata penjual daging merungut dengan keadaan mereka sekarang ini di mana terpaksa mengambil daging dengan harga tinggi dari pemborong sedangkan harga yang dijual di pasaran sekarang masih lagi tidak dinaikkan.

Setakat ini, harga bagi sekilo daging ialah RM22, daging paha (RM18) sekilo, tulang bidai (RM16) sekilo dan tulang biasa (RM14) sekilo.

“Kalau diikutkan harga sekarang ini masih lagi rendah memandangkan pihak pemborong sudah pun menaikkan harga menjelang Ramadan ini,” kata seorang peniaga daging Haji Amin Mahali .

Malahan katanya selain dari masalah dengan pihak pemborong, bekalan daging sekarang ini juga kadang kala amat susah untuk diperolehi kerana kebanyakan pembekal di sekitar Sabah memilih untuk mengeksport bekalan daging mereka ke Brunei memandangkan harga yang ditawarkan di sana lebih tinggi.

Hal ini turut diakui oleh seorang lagi penjual daging, Peter Chok yang turut merasai bebanan yang sama.

Katanya, jika kami dapat harga murah mestilah kami akan jual dengan murah tapi kami pun terpaksa membeli dengan harga mahal.

Oleh itu, pihak peniaga di pasar berkenaan memohon kepada pihak berwajib supaya dapat menaikkan harga daging bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.

“Kami bukannya mahu harga dinaikkan dengan tinggi kerana sedar akan kesusahan yang dialami oleh orang ramai tetapi cukuplah jika harga boleh dinaikkan dalam RM1,” kata Peter.

Hal yang sama turut dirasai oleh peniaga ayam di mana mereka terpaksa membeli dengan harga yang mahal dari pihak pemborong.

Menurut salah seorang peniaga ayam di situ, Zukfikar, harga bagi seekor ayam bulat setakat ini adalah RM9.50 sekilo dan dijangka akan meningkat lagi memandangkan sikap pemborong yang sering menaikkan harga ayam terutama sekali menjelang Aidilfitri nanti.

“Sebelum bulan puasa harga yang dapat dijual adalah RM9 tapi sekarang harga terpaksa dinaikkan walaupun belum seminggu umat Islam menjalani ibadah tersebut,” katanya sambil tidak mena- fikan harga ayam bulat sekilo dijangka akan naik sehingga lebih RM10 menjelang Aidilfitri nanti.

Selain itu, tinjauan yang sama juga mendapati harga ikan dan hasil tangkapan laut turut naik secara agak mendadak kerana faktor cuaca yang tidak menentu.

 
By : OLEH BALQIS JAMALUDIN
 
New Sabah Times