Penduduk gesa pihak berkuasa baiki jambatan Kg Serudong Baru |
TAWAU: Pihak berkuasa berkaitan digesa agar segera memperbaiki Jambatan Kg. Serudong Baru yang rosak dan berlubang, demi kemudahan dan keselesaan para pengguna kenderaan di kawasan tersebut. Seorang pengadu, Hasrani Mohd Budin, berkata beberapa kenderaan sebelum ini turut dilihat terkandas di atas jambatan itu dan memaksa orang ramai mengerah tenaga untuk mengalihkannya. Kerosakan jambatan yang turut menjadi laluan guru-guru dan murid-murid ke SK Serudong Baru itu ujarnya dilihat berlaku sejak 8 Julai lepas, ekoran keadaan lantai jambatan yang tidak kukuh. “Kerosakan pada jambatan ini sebenarnya sudah berlaku berulang-ulang kali sejak Januari lepas. Walaupun diperbaiki, tetapi ia kembali rosak dan berlubang kerana papan yang digunakan tidak begitu tahan,” katanya. Berikutan itu, beliau berharap satu langkah drastik dan konkrit bagi memperbaiki jambatan itu dapat segera diambil, sebelum kerosakan yang berlaku mendatangkan bahaya kepada para pengguna yang melaluinya. |
| By : Oleh MOHD ZAFRIN NORDIN |
| New Sabah Times |