Wanita Umno Tenom fokus untuk kemenangan BN pada PRU-13: Rahmajan

 

TENOM: Pergerakan Wanita Umno Bahagian Tenom tidak sibuk soal calon tetapi memfokuskan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Tenom, Datin Rahmajan Suliaman Khan, berkata Wanita Umno di bahagian ini tidak sibuk dengan soal lobi melobi calon tetapi lebih menumpukan perhatian kepada kemenangan siapa juga calon BN yang diletakkan oleh pucuk pimpinan di kawasan ini.

“Kita pulangkan kepada pucuk pimpinan BN, siapa yang diletakkan menjadi calon di kawasan ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan 1Azam yang dikelolakan bersama oleh Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPKW) dan Pergerakan Wanita Umno Tenom di Dewan Daruk Seri Panglima Antanom di sini, kelmarin.

Majlis penyerahan sumbangan 1Azam itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi; mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang; yang juga Ketua Umno Bahagian Tenom.

“Sebagai pemimpin Pergerakan Wanita diperingkat bahagian, kita telah diberitahu oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia Datuk Sharizat Jalil dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Sabah Datuk Armani Mahiruddin bahawa pergerakan wanita bekerja untuk memastikan calon-calon BN pada PRU-13 mencapai kemenangan yang lebih cemerlang,” katanya.

Rahmahjan berkata, peranan peergerakan wanita Umno khususnya akan memastikan Sabah akan terus menjadi Simpanan Tetap BN seperti pada PRU 12 yang lalu.

Pergerakan Wanita Umno Tenom juga katanya, akan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Pada PRU 12 yang lepas BN di Sabah mencapai kecemerlangan dan kita berharap ia akan lebih cemerlang pada pilihan raya akan datang.

Tambahnya, BN di kawasan Tenom di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Rubin Balang, adalah kukuh dan kuat.

Mengenai dengan Program Bantuan 1 Azam, Rahmahjan berkata, ia adalah sumbangan yang diberikan atas keprihatinan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak yang menyalurkan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Katanya, bantuan ini diagih-agihkan kepada seramai 75 penerima mengikut minat dan kemahiran wanita yang telah dikenal pasti mempunyai kemahiran.

“Kita sudah ada rekod mana-mana wanita yang mempunyai kemahiran dengan bantuan perlatan yang diberikan,” jelasnya.

Ini katanya, kerana sebelum ini pelbagai kursus kemahiran seperti kurusu jahit menjahit, membuat kuih muih dan kek, masak memasak dan sebagai telah dijalankan dan diikuti oleh wanita yang menerima bantuan berkenaan.

Beliau berharap, mereka yang menerima bantuan itu dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk memperluaskan perniagaan dan meningkatkan pendapatan bagi menampung keperluan keluarga.

Hadir sama Ketua Daerah Tenom, OKK David Jani; Penyelia Pembangunan dan Perhubungan Kemas DUN Kemabong, Roger London; Timbalan Ketua Umno Bahagian Tenom, Suhaili Guriaman; Setiausaha Umno Bahagian Tenom, Haji Dzulkifli Empin dan barisan AJK Wanita Umno Bahagian Tenom.

 
By : Oleh MARUTIN ANSIUNG
 
New Sabah Times