Sistem eRoses dapat jimat RM8 juta peruntukan kerajaan |
KOTA KINABALU: Sistem eROSES yang dilancarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dapat menjimatkan RM8 juta peruntukan kerajaan, kata Pengarah JPPM, Dato’ Abdul Rahman Othman. Katanya, eROSES merupakan kerjasama dalaman pertama JPPM dengan pelbagai jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri di mana setiap jabatan membantu meyumbang tenaga mengendalikan sistem ini. “Sebelum ini, semua projek pengendalian sistem online jabatan kerajaan perlu dikendalikan oleh pihak swasta dan memakan belanja sekurang-kurangnya RM8 juta,” kata Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Sistem eROSES, di Menara MAA, di sini, kelmarin. Selain itu, katanya pengwujudan sistem online yang dikendalikan oleh pihak swasta memakan masa sekurang-kurangnya dua tahun, namun melalui kerjasama ini, Sistem eROSES hanya mengambil masa selama setahun untuk diwujudkan. Sementara itu, sistem eROSES ini dilancarkan atas kesedaran Kerajaan mengenai kesukaran yang dilalui oleh sesetengah pihak terutama yang tinggal jauh di pedalaman untuk melakukan segala urusan mengenai pertubuhan mereka, katanya. Oleh itu katanya, melalui eROSES segala urusan mengenai pertubuhan dapat dijalankan secara online tanpa perlu datang ke pejabat JPPM yang kebanyakannya hanya ditempatkan di ibu negeri bagi setiap negeri. “Setakat ini sistem tersebut hanya melalui fasa yang pertama di mana ia memberi perkhidmatan untuk pendaftaran pertubuhan baru secara online dan perlaksanaan secara menyeluruh akan dilancarkan pada 13 Januari 2013 nanti,” katanya. Menurutnya, segala maklum balas atau keputusan ke atas permohonan juga akan diuruskan secara online dalam tempoh lima hari. “Sistem eROSES merupakan salah satu inisatif oleh JPPM bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian dengan memberikan perkhidmatan online kepada rakyat di segenap pelusuk negara seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya. Untuk mendaftar pertubuhan baru secara dalam talian, layari laman sesawang www.eroses.gov.my |
| By : Oleh BALQIS JAMALUDIN |
| New Sabah Times |