Tukang cuci lakukan rompakan berkumpulan dipenjara 7 tahun, 3 sebatan

 

KOTA KINABALU: Seorang tukang cuci dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Hakim Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu ke atas Suffian Januid @ Oyo, 29, apabila itu kes dibawa dihadpaannya kelmarin.

Suffian bersama seorang yang masih bebas didakwa merompak seorang lelaki berumur 22 tahun, dua telefon bimbit dan wang tunai RM2,400 kesemuanya berjumlah RM3,000.

Kesalahan ini dilakukan di Sea Park Condotel di Tanjung Aru pada 20 Ogos tahun lalu kira-kira jam 5.10 pagi.

Dia dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 395 Kanun Kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan rotan jika sabit kesalahan.

Kes ini pertama kali dibicarakan pada 21 Jun dan mahkamah membebaskan Suffian dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar ikat jamin dan dia buat masa ini ditahan reman di bawah Seksyen 259 Kanun Acara Jenayah sehingga kesnya selesai dibicarakan.

Pada 21 Jun, Suffian sepatutnya dibicarakan tetapi dia memohon dilanjutkan masa untuk membolehkannya melantik peguam untuk mewakilinya.

Mahkamah menetapkan kelmarin untuk mendengar kes itu.

Dalam rayuannya, Suffian meminta hukuman diringankan terhadapnya tetapi Timbalan Pendakwa Raya Luke Ressa Balang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.

Beliau juga memaklumkan tertuduh juga terbabit dalam kes lain yang masih menunggu perbicaraan.

Beliau berkata tertuduh adalah suspek yang kedua yang mengambil duit dari laci meja dan bukan yang bersenjatakan parang.

 
By : OLEH ERSIE CHELL ANJUMIN
 
New Sabah Times