PBRS berterima kasih pada kerajaan komited bantu KDM

 

KENINGAU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang komited membantu bangsa Kadazandusun dan Murut (KDM) dengan pelancaran Kolej KDM di Tambunan baru-baru ini.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, berkata Kolej KDM yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak sangat dialu-alukan oleh masyarakat KDM dan menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah bagi bangsa itu melangkah setapak lagi dalam arus pendidikan perdana.

Kurup yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas di pejabat PBRS di sini, kelmarin.

“Penubuhan kolej ini adalah sangat bermakna, melaluinya generasi muda dan yang akan datang dalam kalangan KDM pasti dapat manfaat, dimana ia mampu mengekalkan identiti KDM dari segi bahasa, adat istiadat dan budaya,” kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menurutnya, rakyat perlu sedar bahawa hanya dengan semangat kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri dan Persekutuan rakyat di negeri ini terbela.

“Penubuhan Kolej KDM yang bakal dibina di Tambunan satu lagi mercu kejayaan bangsa kita kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) di peringkat kerajaan Negeri dan Persekutuan bersungguh-sungguh meningkatkan martabat bangsa kita,” ujar Kurup.

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan KDM (Pekadin) telah mencetuskan idea mengenai penubuhan Kolej KDM yang telah mendapat maklumbalas segera dari semua pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan terutamanya Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Upacara pecah tanah penubuhan kolej itu disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak di Pisompuruan Squere, Tambunan.

 
By : OLEH OLEH ROZIE JUMAT
 
New Sabah Times