Kes bunuh diri masalah besar tetapi hanya sedikit dilapor |
KENINGAU: Kes bunuh diri di negara ini sebenarnya adalah satu masalah yang besar tetapi hanya sedikit yang dilaporkan. Jurulatih Befrienders Kota Kinabalu, Johan Amilin Datuk Hj Abdul Samad, berkata kes bunuh diri atau cubaan bunuh diri kurang dilaporkan kerana ia menyalahi undang-undang. Katanya, di sisi undang-undang Seksyen 309 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan cubaan bunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. “Ini kemungkinan yang menyebabkan ahli keluarga individu yang terbabit dalam kes bunuh diri atau cubaan bunuh diri enggan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya semasa menyampaikan Ceramah Kesedaran Kesihatan Mental anjuran Befrienders di Hospital Keningau pada Sabtu. Di negara-negara yang lebih maju katanya, Kementerian Kesihatan atau Kerajaan menyimpan rekod rasmi kes bunuh diri di negara mereka. Beliau berkata, tujuan pengumpulan data atau rekod ini membolehkan kerajaan boleh mengeluarkan dasar untuk mengelakkan kerugian daripada gejala ini. Namun di Malaysia, kata Johan sukar untuk mendapatkan data sebenar mengenai jumlah sebenar kes bunuh diri. “Selain daripada itu, banyak pusat kesihatan tidak melaporkannya kerana bunuh diri menyalahi undang-undang dan juga kerana menjaga sensitiviti keagamaan serta mempertimbangkan perasaan keluarga yang berkenaan. “Dan banyak kes bunuh diri berlaku di tempat-tempat yang jauh dari balai polis atau pusat kesihatan tidak dapat dilaporkan,” katanya. Menurut Johan, hanya pada tahun 2007, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM). “Sejak itu, kita telah perlahan-lahan menyusun data statistik bunuh diri di Malaysia. Walaubagaimanapun, ia masih menyalahi undang-undang di bawah Kanun Keseksaan menyebabkan masih ramai yang enggan melaporkannya,” jelasnya. Sementara itu, menjawab soalan tentang betapa seriusnya kes-kes bunuh diri di Sabah, Johan berkata Sabah mempunyai setakat ini bilangan keempat tertinggi bunuh diri di negara ini. Kira-kira 60 individu dari jabatan kerajaan, NGO, badan-badan agama, persatuan dan pergerakan politik mengambil bahagian dalam ceramah itu, yang turut menampilkan ceramah oleh Pengarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Norhayati Nordin. |
| By : OLEH MARUTIN ANSIUNG |
| New Sabah Times |