Kedudukan kewangan Sabah kukuh bukti wibawa KM, kata Pang |
SANDAKAN: Kedudukan kewangan Negeri Sabah yang kukuh sehingga hari ini menunjukkan kewibawaan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dalam menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah. “Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tawfiq Titingan telahpun memberitahu baru-baru ini di Dewan Sri Libaran bahwa keadaan kewangan dalam keadaan kukuh. Sejak Datuk Musa dilnatik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003, Reserve Kewangan Negeri Sabah terus melonjak sehingga hari,” kata Wakil Rakyat Karamunting Datuk Peter Pang En Yin dalam majlis perjumpaan bersama pemimpin akar umbi dari kawasannya kelmarin. Pang yang juga Menteri Belia dan Sukan Negeri, berkata ini telah membuktikan bahwa kita masih perlukan kepimpinan beliau dalam menerajui Kerajaan Negeri Sabah untuk terus membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyatnya. Justeru itu, beliau menyeru agar pemimpin akar umbi akan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang akan datang untuk kesinambungan program pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang memanfaatkan rakyat. Dalam perkembangan lain, Pang memberitahu bahwa pemimpin seperti Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa JKKK mempunyai peranan yang amat penting kerana mereka adalah pemimpin di peringkat akar umbi yang bertindak sebagai jambatan di antara rakyat dan wakil rakyat. “Saya berharap para pemimpin akar umbi akan sentiasa membantu penduduk-penduduk pada bila-bila masa dan jikalau masalah tersebut tidak dapat diatasi di peringkat akar umbi, mereka harus beritahu saya dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencari penyelesaian,” tambah beliau. Menurut Pang, majlis perjumpaan yang diadakan ini amatlah bermakna kerana melalui program sedemikian beliau dapat mengetahui dan mengenalpasti masalah-masalah di peringkat akar umbi di kawasan Karamunting yang telah diatasi ataupun sedang mengusahakan untuk selesaikannya. Lebih dari 50 pemimpin akar umbi Bumiputra dari kawasan Karamunting menghadiri majlis tersebut yang diadakan Restoran Ocean King di Pasir Putih. |
| By : OLEH JAMES LEONG |
| New Sabah Times |