PELABUR KE SABAH DIJANGKA BERTAMBAH TAHUN INI: MUSA |
MENGGATAL: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menjangka lebih banyak lagi pelabur yang datang ke Sabah tahun ini, sekali gus membantu memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih baik. Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi pelaburan yang amat memberangsang- kan terutama pada suku pertama tahun ini. Pada suku tahun pertama tahun ini, Sabah menerima pelaburan swasta tertinggi sebanyak RM10 bilion manakala nilai pelaburan dalam pelbagai sektor yang dicatatkan sepanjang tahun lepas mencecah angka RM13.7 bilion. “Kita berharap banyak lagi pelabur datang ke Sabah, dan sekarang ini Sabah mendahului negeri-negeri lain dari segi menarik pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun SMK Tebobon, di sini, kelmarin. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Jainab Ahmad, Adun Inanam Datuk Johnny Goh, Pengetua Cemerlang Sekolah itu Loh Kok Cheang dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Sakka Matta. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah yakin dapat mencapai sasaran pada tahun ini memandangkan pada suku pertama tahun ini sahaja negeri ini menerima pelaburan swasta tertinggi sebanyak RM10 bilion. Sepanjang tahun lepas, Sabah mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM13.7 bilion dalam pelbagai sektor. Musa yang juga Menteri Kewangan bekata, ramai pelabur datang ke negeri ini kerana keadaannya aman damai dan keadaan politik yang stabil. Selain itu katanya keadaan alam sekitar, pulau, pantai dan air yang bersih hasil pengurusan yang cekap juga antara tarikan pelabur. Beliau berharap dengan keadaan yang baik seperti itu, nilai pelaburan di Sabah akan terus meningkat. “Saya telah meminta kepada menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Raymond Tan supaya bekerja lebih kuat untuk menarik pelabur ke Sabah,” katanya. Bagaimanapun katanya apa yang penting usaha untuk menarik pelabur ke negeri ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan. “Kita bukan sekadar menarik pelabur tetapi seharusnya wujud kerjasama antara satu sama lain iaitu dengan memberi peluang serta ruang pekerjaan kepada anak tempatan. “Kalau sekadar pelabur datang tetapi tidak memberi manfaat (peluang pekerjaan) kepada rakyat dan negeri tidak ada kebaikannya, ia mesti ada situasi “menang-menang”... semuanya mendapat manfaat daripada hasil pelaburan,” katanya. |
| By : OLEH MARRYAN RAZAN |
| New Sabah Times |