Penubuhan Kolej KDM bukti BN prihatin: Musa |
TAMBUNAN: Penubuhan Kolej KDM di daerah ini bukti yang menterjemah keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada semua kaum di negara ini khususnya di Sabah. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, ini jelas menunjukkan kepimpinan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak prihatin kepada rakyat. Katanya, Kolej KDM yang diwujudkan di daerah ini bukan sahaja Tambunan tetapi ia turut memberi manfaat kepada kawasan Pedalaman yang merangkumi Keningau, Tenom dan Nabawan serta Sabah keseluruhannya. “Inilah cara BN majukan rakyat tanpa mengira keturunan, kaum dan kepercayaan,” katanya semasa berucap sempena Majlis Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kolej KDM Tambunan yang disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak di Pisompuruan Sguare di sini kelmarin. Musa berkata, selain Kolej KDM, banyak lagi pembangunan untuk rakyat telah dilaksanakan melalui pimpinan pemimpin nombor satu negara (Najib) sejak memegang jawatan Perdana Menteri. “Rakyat perlu bersyukur kepada pemimpin yang banyak berfikir untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat seperti Perdana Menteri yang kita sayangi dan sanjungi,” kata Musa. Beliau berkata, Perdana Menteri bekerja siang dan malam untuk memajukan rakyat dan walaupun sibuk dengan urusan-urusan pentadbiran negara tetapi sanggup dekati rakyat di setiap pelusuk di negara ini termasuk di Sabah. Justeru itu katanya, rakyat jangan terpengaruh dengan cakap-cakap pembangkang yang melontarkan tomahan kepada kerajaan yang mengatakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membangunkan rakyat di Sabah. Kerajaan BN kata Musa, prihatin kepada rakyat dan Kerajaan Persekutuan telah memberi bantak pembangunan kepada rakyat. Ini katanya, kerana kuasa yang ada digunakan untuk memberi pembangunan dan bantuan kepada rakyat termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan kepada pelajar dan baucar buku kepada pelajar IPTA/IPTS. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Mohd, Salleh Tun Said, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Isteri Ketua Menteri Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin, Puan Sri Genevie Kitingan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat. |
| By : OLEH MARUTIN ANSIUNG |
| New Sabah Times |