Taman Pertanian akan dipromosikan: Ng Yen Yen |
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan Malaysia akan mempromosikan Taman Pertanian Sabah, di Tenom sebagai antara produk eko-pelancongan bertaraf dunia. Menterinya Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yakin Taman Pertanian Sabah berupaya menarik ramai pelancong memandangkan ia memiliki keistimewaan tersendiri yang tiada di tempat lain. Katanya, taman pertanian itu bukan sekadar taman bunga, pertanian, botani yang unik tetapi juga pusat kajian dan memiliki sepsis orkid berasaskan hutan. “Keunikan dan kepelbagaian spesis orkid berasas “hutan” itu, yang mungkin tiada di negara-negara lain, dengan sendirinya menjadi “niche” untuk Taman Pertanian Sabah, sekaligus membantu memajukan lagi industri pelancongan di negeri ini. “Apa yang menarik ialah ia mempunyai sebanyak 350 orkid asas hutan. Biasanya kita melihat pameran orkid yang kebanyakannya Orkid Hybrid dan jarang sekali kita berpeluang melihat orkid asas hutan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja tiga hari ke Sabah sebelum berlepas pulang ke ibu negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, kelmarin. Ng berkata, daripada lawatannya di Taman Pertanian itu, masih banyak yang perlu dipertingkatkan. Antaranya papan tanda dan papan tanda maklumat untuk setiap tumbuh-tumbuhan di kawasan itu. “Ketika ini pengunjung yang datang ke sana diberikan penerangan oleh dua pemandu pelancong. Dengan adanya papan tanda maklumat itu, maka tidak perlulah pemandu pelancong,” katanya. Sehubungan itu katanya, kementeriannya akan memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menyusun papan tanda dan papan tanda maklumat di kawasan itu, bagi membolehkan pelancong, melancong di taman itu dengan sendiri. “Walaupun mereka tidak mohon tetapi saya nampak kita perlu membuat sesuatu yang boleh menaikkan kesedaran para pelancong di Sememanjung Malaysia dan luar negara mengenai Taman Pertanian Sabah. “Ini kerana, sepanjang tahun lalu taman itu hanya menerima sebanyak 25,000 pelancong sahaja berbanding dengan Sepilok sebanyak 1 juta pelancong,” katanya. Sehubungan itu katanya, kementeriannya akan memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk mengadakan Pesta Orkid Asas Hutan di Taman Pertanian Sabah Tenom pada tahun 2013. “Kita rancang untuk tahun depan bagi membolehkan kita merancang dengan baik seterusnya menjayakan pesta itu. tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya pelancong dalam dan luar negara mengenai keunikan Taman Pertanian Sabah,” katanya. |
| By : oleh Marryan Razan |
| New Sabah Times |