Penduduk Flat Sri Titingan fail saman RM100j terhadap MPT, pengurusan flat

 

TAWAU: Penduduk Flat Sri Titingan Tawau akan memfailkan saman RM100 juta terhadap Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan pihak pengurusan flat itu ekoran penemuan mayat di dalam salah satu tangki air mereka bulan lalu.

Peguam mereka, Chong Kian Ming dari Tetuan Tan Chong & Associates, saman itu akan difailkan di Mahkamah Tawau dalam tempoh dua minggu ini iaitu sebaik sahaja semua urusan dokumen berkaitan diselesaikan.

Chong yang tampil membantu para penduduk terlibat secara sukarela hasil usaha Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) berkata, beliau akan dibantu oleh dua peguam lain dari daerah ini dalam tuntutan tersebut.

Katanya, tuntutan RM100 juta itu adalah bagi tujuan ganti rugi kerosakan (damages) yang dialami oleh para penduduk dan ia mengambil kira kesan trauma yang dialami mereka serta aspek kecuaian yang berkaitan.

Dalam saman itu juga katanya, tuntutan agar kesemua tangki air dan saluran perpaipan di flat itu ditukar akan turut dibuat.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyampakan taklimat tentang prosedur tuntutan saman itu kepada penduduk flat terbabit, di flat berkenaan pagi kelmarin.

Hadir sama ialah Yang DiPertua Perkasa Sabah, Datuk Seri Mohd Jeffry Rosman, Ketua Wira Perkasa Sabah Hamid Harun dan Setiausaha Kerja Perkasa Sabah, Mustaffa Ismail.

Sementara itu, Jeffry ketika ditemubual pula menyatakan bahawa tindakan saman tersebut adalah bertujuan untuk membela nasib para penduduk yang terlibat ekoran insiden yang menimpa mereka.

Meskipun terdapat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba memberi tekanan kepada Perkasa supaya berhenti dari memperjuangkan nasib penduduk terlibat katanya, namun pihaknya tidak akan berhenti dari berbuat demikian.

“Sebagai badan bukan kerajaan, perjuangan kita adalah atas dasar kemanusiaan, apatah lagi apabila penduduk di sini majoritinya adalah terdiri daripada golongan Bumiputera.”

“Menerusi saluran undang-undang ini, kita berharap nasib para penduduk akan mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Jeffry turut menasihatkan para penduduk di flat itu supaya tidak sesekali melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan kes tuntutan mereka terjejas.

 
By : OLEH MOHD ZAFRIN NORDIN
 
New Sabah Times