MUSA: LEBIH BANYAK SYARIKAT CHINA MINAT MELABUR DI SABAH |
KOTA KINABALU: Beberapa syarikat China telah menyatakan minta untuk melabur di Sabah, terutamanya dalam sektor pelancongan, pertanian dan akuakultur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. “Kami sedia untuk mendengar apa yang diminati oleh pelabur, dan kami akan membantu memudahkan pembukaan perniagaan baharu di Sabah,” katanya ketika melancarkan Kongres Pemuda Jiangman Dunia Ke-3, di sini kelmarin Teks ucapannya telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai. Turut hadir adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew, Datuk Bandar Jiangmen Pang Guo Mei, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir dan pengerusi penganjur Datuk Susan Wong. Musa berkata Sabah telah menarik pelaburan dari pelbagai negara dengan yang terbaharu adalah Darden Incorporated, sebuah syarikat makanan laut utama dari Amerika Syarikat, yang telah melabur sebanyak AS$2 bilion untuk membangunkan perladangan udang kara di Sabah. Beliau berkata syarikat itu telah tertarik dengan Sabah berikutan keadaan politik dan ekonominya yang stabil. Musa berkata, sebuah lagi syarikat makanan utama AS iaitu Dole, telah menyatakan minat untuk membangunkan perladangan buah dan sayuran di Sabah. Dalam konteks ini, Musa berharap pemuda dari Kongres ini akan belajar lebih lanjut mengenai Malaysia, terutamanya mengenai pelbagai peluang yang boleh mereka teroka di Sabah. Katanya, lain-lain sektor yang penting untuk Sabah termasuk minyak sawit, perkilangan serta minyak dan gas. Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata sejumlah 74 projek dengan pelaburan bernilai AS$642 juta oleh syarikat-syarikat dari China telah diluluskan sejak 2008.. Beliau berkata dasar pelaburan Malaysia, terutamanya dalam sektor perkilangan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 mensyaratkan semua syarikat perkilangan dengan dana pemilik saham sebanyak RM2.5 juta dan lebih atau menggaji 75 orang atau lebih pekerja tetap, harus memohon lesen perkilangan. Bagaimanapun, katanya, kelulusan automatik diberikan kepada industri tidak sensitif di mana pemilikan 100 peratus ekuiti asing adalah dibenarkan. “Tidak ada halangan dikenakan kepada syarikat asing yang melabur di Malaysia berhubung penghantaran balik keuntungan,” katanya dalam syarahannya mengenai “Unjuran Ekonomi Malaysia” di sebuah forum ekonomi sempena Kongres Pemuda Jiangmen Ke-3 Dunia di sini kelmarin. Beliau berkata pemulihan ekonomi Malaysia adalah baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.1 peratus pada 2011 berbanding pertumbuhan negatif pada 2009. “Kami juga telah mengurangkan kadar pengangguran sebanyak 0.6 peratus kepada 3.1 peratus. Lebihan dagangan pada 2011 dicatatkan pada AS$39.3 bilion dengan rizab antarabangsa dicatatkan pada AS$134.4 bilion setakat 15 Februari 2012,” katanya. |
| By : |
| New Sabah Times |