Pekadin berterima kasih kepada kerajaan pusat lulus tubuh Kolej KDM

 

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin), mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana meluluskan penubuhan Kolej Kadazandusun dan Murut (Kolej KDM) di Kaingaran, Tambunan, sebuah daerah di pedalaman Sabah.

Sambil menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai sesuatu yang wajar dan menepati keperluan masa, ketua penerangan Pekadin, Edward Kandok berkata ia juga membuka dimensi baharu dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di negara ini.

“Rakyat Sabah, terutama daripada masyarakat Kadazandusun Murut, telah menyatakan pandangan dan menyuarakan sokongan mereka terhadap penubuhan Kolej KDM.

“Jelas sekali, kerajaan mendengar suara orang KDM yang mahu agar kolej itu ditubuhkan untuk menyerlahkan peranan masyarakat itu, khususnya dalam bidang pendidikan ketika Malaysia menuju ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020. Ini hadiah Kaamatan yang sungguh besar bagi kami,” katanya kelmarin.

Edward berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di sini semalam bahawa kelulusan yang diberi kerajaan persekutuan bagi penubuhan Kolej KDM membuktikan bahawa Bumiputera di Sabah tidak dipinggirkan daripada proses pembangunan negara.

Pairin, yang juga Huguan Siou (pemimpin utama) masyarakat KDM, dipetik sebagai berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyempurnakan upacara pecah tanah bagi pembinaan kolej itu pada awal Jun.

Sehubungan itu, Edward berkata Pekadin, yang mencadangkan penubuhan Kolej KDM di Sabah pada Mei tahun lepas, berharap kerajaan akan mempercepatkan penyediaan kampus tetap kolej itu di Tambunan untuk kebaikan rakyat dan negeri ini.

 
By :
 
New Sabah Times