Najib dijangka umum RCI di Sabah sempena Pesta Kaamatan: Maximus |
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam lawatannya ke Sabah sempena Pesta Kaamatan pada bulan depan. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pengumuman itu dijangka memperincikan bidang tugas dan terma rujukan suruhanjaya siasatan itu, bagi memastikan semua masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah dapat diselesaikan secara komprehensif. “Perdana menteri akan datang ke Sabah pada 9 Jun sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan. Kami berharap untuk mendengar daripada beliau (Najib) mengenai terma rujukan khusus RCI itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan penyerahan watikah pelantikan Majlis Bioetika Negara (MBN) di sini, kelmarin. Pengumuman pembentukan RCI telah lama dinantikan rakyat Sabah dengan desakan lebih kuat kedengaran selepas pengumuman itu dibuat perdana menteri semasa lawatannya ke negeri itu pada Februari lepas. Isu penubuhan RCI itu penting berikutan kebimbangan di kalangan orang awam mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah mengenai kewujudan sindiket haram membuat kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin, yang dikatakan mengakibatkan peningkatan mendadak jumlah rakyat di Sabah. Jawatankuasa Kewarganegaraan Barisan Nasional Sabah yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menyediakan terma rujukan atau bidang tugas RCI. |
| By : Bernama |
| New Sabah Times |