KPT perlu terus pantau, kaji pengambilan pelatih diploma jururawat di IPTS

 

TENOM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu terus memantau serta mengkaji dari masa ke masa pengambilan pelatih yang mengikuti program diploma kejururawatan yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi mengimbangi longgokan pelatih yang gagal mendapatkan sebarang pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar berkata, dalam masa yang sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula wajar memberikan maklumat kepada KPT mengenai tawaran kerja sebagai jururawat dimana jika tidak masalah ini akan berlarutan apabila bilangan yang mengikuti kursus jururawat sentiasa meningkat namun tenaga kerja yang memerlukan khidmat mereka tidak mencukupi.

Menurut beliau kewajaran KPT memantau perkara ini kerana terdapat kolej perubatan menawarkan pengambilan pelajar baru sampai lima kali setahun seolah-olah sebagai ‘Along Berlesen’ yang menggunakan tabung PTPTN dari pelajar terlibat dalam memajukan perniagaan mereka.

“Kita faham sebahagian dari pelajar ini adalah peminjam PTPTN yang terpaksa membayar pinjaman di kolej mereka, namun bagaimana mereka hendak membayar balik pinjaman sekiranya gagal mendapat tempat untuk bekerja. Adalah lebih baik pengambilan ini diberhentikan dahulu supaya lambakan jururawat yang menamatkan pengajian mereka tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sk Ladang Sapong dekat sini pada Rabu.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom, berkata demikian ketika diminta mengulas isu lepasan program diploma kejururawatan dari IPTS yang masih belum mendapat peluang pekerjaan.

Menurut Jamawi kerajaan sebelum ini telah mengambil tindakan untuk menangguhkan kelulusan kursus baru diploma kejururawatan dan penubuhan IPTS yang menawarkan program ini dengan harapan institusi yang sedia ada menawarkan program tersebut dapat menaiktaraf kualiti kursus dan pencapaian pelajar.

“Bukan sahaja kualiti kursus dan pencapaian pelajar yang kita pastikan, namun peluang bagi pelajar mendapat pekerjaan perlu difikirkan di mana ibu bapa mereka yang menghantar anak belajar di IPTS, sudah pasti mengantungkan harapan agar mereka mendapat peluang pekerjaan dan mampu membantu keluarga,” jelas Jamawi.

Menurut Jamawi dari maklumat yang diperolehi bilangan pengeluaran jururawat terlatih pada tahun 2009 ialah 8,279 orang, iaitu seramai 2,402 dari kolej kementerian, 528 dari IPTA dan 5,349 dari IPTS.

Katanya, pasaran kerja jururawat di hospital kerajaan ialah cuma 8 peratus sahaja kerana 92 peratus jawatan telah diisi, manakala dalam masa yang sama, kerajaan melahirkan 2,400 jururawat melalui kolej jururawat KKM untuk mengisi jawatan kekosongan itu.

“Persoalannya, baki 6000 orang lagi jururawat yang dilahirkan daripada IPTS dan IPTA itu hendak diletakkan di mana? Justeru itu kita kena kaji dan lakukan kawalan kepada mana mana IPTS yang mengambil pelajar dalam jurusan ini perlu ada keseimbangan dari segi peluang pekerjaan,” tegas Jamawi

Tambahnya walaupun matlamat melahirkan jururawat ialah untuk mengisi jawatan di hospital swasta namun tidak ada hospital swasta yang akan mengambil jururawat terlatih yang tidak berpengalaman. Sekurang-kurangnya menurut Jamawi hospital swasta memberikan keutamaan kepada jururawat yang sudah berpengalaman 2-3 tahun di dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu, Jamawi berharap kerajaan dapat memantau perkembangan kolej IPTS yang menawarkan kursus dalam bidang ini supaya dapat menepati tahap dan kualiti kursus yang ditawarkan bagi memastikan pelajar memperolehi ilmu yang secukupnya bagi membolehkan mereka mampu bersaing mencari peluang pekerjaan setelah menamatkan pengajian mereka.

Katanya, kenyataan Menteri Pengajian Tingi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang menyebut hanya tiga kolej atau 1.4 peratus daripada 210 kolej swasta yang aktif di negara ini mencapai taraf enam bintang manakala 72 lagi (34.3 peratus) berada di bawah paras kurang memuaskan merupakan satu angka yang kurang meyakinkan bagi negara melahirkan tenaga profesional dalam bidang berkenaan.

 
By :
 
New Sabah Times