JPNS mahu B. Inggeris jadi bahasa pengantar di Sabah menjelang 2018, kata Mohd Fadzli

 

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mahu Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah di Sabah menjelang 2018.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik (Bahasa Inggeris), Mohd Fadzli Asel Rozan, berkata sasaran itu diharap dapat dicapai melalui pelaksanaan ‘Highly Immersive Programme’ yang akan diperkenalkan di 23 sekolah rendah di seluruh Sabah.

“Program ini bertujuan mewujudkan suasana kondusif untuk belajar Bahasa Inggeris seterusnya meningkatkan minat dan galakan kepada murid-murid untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan harian.

“Selain itu ia juga dapat menggalakkan para pelajar menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bersama rakan-rakan di sekolah dan dalam kelab dan persatuan sukan. Oleh itu guru-guru memainkan peranan bukan sahaja guru yang mengajar Bahasa Inggeris tetapi juga guru-guru kokum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Program Imersif Tinggi Peringkat Daerah Penampang, di SK Pendidikan Khas, di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Donald Mojuntin.

Mohd Fadzli berkata, Penampang merupakan daerah pertama melaksanakan High Immersive Programme (HIP). – Oleh Wyonna William

 
By :
 
New Sabah Times