Keselamatan dan kesihatan penting hasil modal insan berilmu

 

KOTA KINABALU: Hasrat dan aspirasi negara melahirkan modal insan berilmu dan berakhlak tinggi, tidak akan tercapai jika aspek keselamatan serta kesihatan tidak dititikberatkan pentadbiran sekolah, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994, yang memperuntukkan keperluan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seharusnya dipanjangkan kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Dengan melaksanakan sistem pengurusan KKP, pentadbiran sekolah diharap menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif bagi proses pembelajaran dan pengajaran,”

“Sebagai contoh, aspek pengurusan dan pengendalian bahan-bahan kimia yang digunakan dalam aktiviti uji kaji atau eksperimen di dalam makmal di sekolah perlulah diberikan perhatian serius,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran KKP di Sekolah 2011 Peringkat Negeri Sabah di sini, kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Ir Mohtar Musri.

Program keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah, peringkat negeri yang diadakan buat julung kalinya di negeri ini, telah menarik lebih 600 peserta dan 28 buah sekolah di sekitar bandaraya.

Mazlan berkata, penganjuran program ini adalah kesinambungan daripada program yang telah dikenal pasti dibawah plan induk keselamatan dan kesihatan pekerjaan Malaysia (OSH-MP) yang telah dilancarkan oleh perdana menteri pada 1 Mei tahun 2009.

“Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat kepada guru, kakitangan dan juga pelajar sepanjang berada di sekolah,” tambahnya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini ialah, pertandingan melukis poster, teka silang kata, pameran, ceramah dan sesi soal jawab.

Program yang diadakan adalah hasil daripada perancangan oleh pihak MNKKP dengan kerjasama JKKP, NIOSH dan Perkeso.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ketua sektor pembangunan kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Ir. Datu Jamigul Hj Datu Salin dan Pengetua SMK Likas, Hjh Wan Noriah Wan Musa.

 
By : OLEH MOHD RIZAL ABDULLAH
 
New Sabah Times