Tunggang motosikal berkuasa tinggi umpama nadi kehidupan: Penunggang

 

KOTA KINABALU: Menunggang motosikal berkuasa tinggi bukan sahaja sekadar minat tetapi umpama nadi kehidupan serta penghibur hati bagi golongan tertentu dan kadang kala minat itu juga lahir dari peristiwa sedih dalam kehidupan seseorang, dengan menunggang motosikal juga mampu mengurangkan ingatan terhadap peristiwa hitam dalam sejarah hidup kita.

Inilah antara cerita-cerita menarik daripada penunggang motor besar yang sempat ditemubual kelmarin di Lintasan Deasoka, semasa acara Jamuan Teh Kumpulan Motor Besar ( BIG BIKERS CLUB) bersama penduduk Bandar Kota Kinabalu yang diadakan sempena Festival Borneo Island International Big Bike yang ke-12.

Salah seorang peserta Haji Osman Ahmed,48 berasal dari Sipitang berkata beliau telah menceburi bidang permotoran berkuasa tinggi ini lebih daripada 13 tahun, dan menunggang Harley Davidson jenis electra pit boy.

“Bagi saya penganjuran kali ini adalah yang terbaik kerana tiada kemalangan teruk seperti yang berlaku pernah sebelum ini, ini semua hasil daripada kerjasama dan sokongan padu semua pihak,terutamanya pihak Polis yang mengawal ketat perjalanan konvoi bermula dari Sutera Habour ke Ranau seterusnya ke Kota Belud dan berpatah semula ke Bandar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata meskipun terdapat kemalangan kecil namun tidak menyebabkan kecederaan parah atau kematian, ini satu yang harus kita puji, bahawa pihak berkuasa di Negeri Sabah sememangnya menitik beratkan keselamatan sepanjang acara ini berlangsung.

Mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sipitang ini juga menasihatkan golongan remaja, untuk menceburi bidang permotoran yang sihat dan rasmi, bukannya menjadikan Mat Rempit sebagai budaya mereka, kerana banyak lagi cara untuk menarik perhatian orang ramai dan bukan dengan cara melakukan aksi berbahaya di jalan raya yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Selain itu, yang paling mencuri perhatian adalah seorang warga veteran wanita , Evelyn Dayang Ani, 58 yang turut serta berkonvoi dan menunggang motor jenis Honda Gold Wing, berkuasa 1500 cc.

“Saya amat gembira dapat berjumpa banyak kenalan baru, dan ini adalah kali ketiga saya menyertai acara yang serupa,” kata beliau.

“Saya telah menunggang motor berkuasa tinggi selama lebih lima tahun dan minat ini mula timbul sejak suami saya mengajak dan mengajar saya mengendalikan motosikal besar, dan kini jadi pengikut setia kumpulan ini,” katanya.

Ibu kepada lima orang anak dan lapan orang cucu, ini berkata meskipun sudah berusia tetapi tidak jadi penghalang untuknya meneruskan hobi ini, kerana galakan daripada anak-anak dan juga suami memberi beliau semangat untuk teruskan, aktiviti ini bukan sahaja mencabar kekuatan fizikal dan mental malah mampu mengurangkan tekanan bagi wanita yang telah berusia sepertinya.

Bagi Aidarina Jakaria,37 yang berasal daripada Papar pula telah menceburkan diri sejak tahun 2001 sehingga sekarang, dan memiliki dua buah motosikal berkuasa tinggi iaitu ZXR Kawasaki, 750 cc dan Honda Shadow, 600 cc.

“Saya amat teruja dalam acara pada tahun ini, kerana ianya sangat mencabar, saya telah mengikuti konvoi tahun-tahun sebelum ini seperti di Sarawak, Kalimantan, dan Brunei namun Sabah adalah paling mencabar dengan laluan KK-Ranau-Kota Belud yang amat berselekoh dengan hujan lebat memberi pengalaman yang sangat menarik bagi saya,” katanya ketika ditemubual.

Aidarina yang berwajah manis juga turut memberitahu bahawa ini adalah penyertaan kali ke-12 bagi dirinya dan terbesar pernah disertainya selepas program Jelajah 1Malaysia hingga ke Kalimantan, Indonesia sebelum ini sambil menegaskan bahawa disiplin adalah asas untuk menjadi penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Selain daripada Aidarina dan Evelyn, Liza Lim juga adalah antara ‘wanita berani’ yang menghiasi kumpulan motor besar Sabah, dia yang berasal dari Putatan dan berumur 40 tahun adalah berbangsa Sino.

“Saya menjadi ahli kumpulan motosikal berkuasa tinggi ini adalah untuk menghilangkan tekanan dan menghiburkan hati kerana saya adalah ibu tunggal dan sejak kematian suami beberapa tahun yang lalu, saya terus menyertai kumpulan ini dengan hasrat dapat mengurangkan kesedihan apabila mengingati suami yang turut meminati dunia permotoran ini,” cerita Liza.

Menurut Liza, dia bermula dengan motor berkuasa rendah 18 tahun yang lalu, dan turut berkongsi pengalamannya yang pernah mengalami kemalangan ketika menyertai konvoi di Sarawak pada tahun 2000 yang menyebabkan kecederaan serius pada kakinya.

“Pada masa itu, kami sebanyak 12 buah motosikal telah terbabas pada masa yang sama akibat jalan yang berminyak hitam, itu merupakan pengalaman pahit saya namun ianya bagaikan suatu semangat bagi saya untuk menambahkan lagi kemahiran dalam mengawal dan mengendalikan motosikal besar”

Liza juga menasihatkan golongan remaja untuk menolak budaya Mat Rempit atau samseng jalanan kerana ianya langsung tidak berfaedah dan membahayakan nyawa.

 
By : MOHD.RIDZAL ABDULLAH & EDDIE ANGAT
 
New Sabah Times