Jabatan Tenaga Kerja Sabah laksana 3P 1Azam-Azam Kerja

 

LAHAD DATU: Bagi memberikan peluang kepada rakyat terutama semua golongan masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup dan membantu mengurangkan beban keluarga, Jabatan Tenaga Kerja Sabah khususnya Pejabat Tenaga Kerja Lahad Datu telah tampil melaksanakan Program Penempatan Pekerjaan (3P) 1Azam-Azam Kerja, Peringkat Daerah ini, di sini, kelmarin.

Berlangsung di Dewan Tun Mustapha Lahad Datu, program yang bermula pada pukul 8 pagi itu telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Datu Nasrun Haji Datu Mansur.

Terdahulu Nasrun dalam ucapannya menghargai peranan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dalam usaha meneruskan Program Penempatan Pekerjaan (3P) yang membantu belia dan beliawanis untuk mendapatkan pekerjaan.

Ini kerana menurut beliau, 3P memudahkan golongan pencari kerja untuk mendaftar mendapatkan pekerjaan secara talian terus ‘Online’ melalui sistem pemadanan kerja atau lebih dikenali sebagai Jobsmalaysia.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kepentingan rakyat terutama kepada golongan yang mencari kerja. Sebab itu, JTK mengadakan program berkenaan demi mencapai visi dan misi kerajaan,” katanya.

Nasrun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu turut berharap 3P akan memberi manfaat kepada golongan sasar bagi memastikan setiap rakyat di negara ini tidak kira keadaan dan latar belakang mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan di dalam pelbagai sektor.

Ini katanya, program berkenaan memberi pendedahan kepada pencari kerja mengenai kerjaya masa kini dan membantu golongan majikan mendapatkan pekerja dengan lebih mudah melalui beberapa aktiviti yang dijalankan.

Seperti di Lahad Datu, ujar beliau bahawa program sebegini amat dihargai oleh semua golongan masyarakat kerana ia membantu seseorang untuk mendapatkan pelbagai jenis pekerjaan.

“Apatah lagi, visi untuk mencapai kerajaan elektronik sebagai salah satu aplikasi Koridor Raya Multimedia atau MSC, pihak kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan satu sistem yang dipanggil sebagai Jobsmalaysia bertujuan untuk mempertingkatkan kemudahan, capaian dan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dan sektor perniagaan melalui penggunaan Teknologi Maklumat (IT).

“Sistem Jobsmalaysia akan menjadi satu-satunya sumber maklumat pasaran buruh Malaysia yang membenarkan data dicapai secara elektronik.

Objektif Jobsmalaysia ialah bagi mempertingkatkan mobilisasi tenaga kerja dioptimumkan melalui pemadanan kerja secara sistematik untuk pencari kerja dan kekosongan jawatan yang ada,” jelas Nasrun sambil menambah ia juga mewujudkan pusat maklumat pasaran buruh yang boleh digunakan oleh orang ramai dari dalam dan luar negara termasuk pelabur-pelabur asing.

Di samping itu, katanya, perkhidmatan yang tersedia di dalam Jobsmalaysia melalui sistem penjodohan kerja adalah pendaftaran dan pencarian kerja secara online.

“Perkhidmatan ini adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat di mana bagi golongan majikan, aplikasi tersebut diyakini membantu mengisi kekosongan jawatan manakala pencari kerja pula boleh membuat carian kerja yang bersesuaian dengan kelayakan dan minat mereka.

“Para pencari kerja juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat kekosongan jawatan di jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya memohon jawatan melalui sambungan terus ke laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hanya dengan melayari laman sesawang Jobsmalaysia,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata selaras dengan dasar kerajaan yang memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat dalam sektor pekerjaan maka golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta ibu tunggal dikenal pasti turut berpotensi bagi melibatkan diri bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf hidup tetapi menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.

Terdahulu, Pengarah JTK Sabah, Hajah Siti Aishah Mohd Asri memberitahu sebanyak 581 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang program kepada pencari kerja yang berminat.

Katanya, ia melibatkan penyertaan sembilan majikan sektor swasta terdiri dari pelbagai pelbagai industri seperti perkhidmatan, perkilangan, perladangan dan sebagainya.

“Mereka menawarkan peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai kategori seperti pentadbiran, pekeranian dan teknikal, mahir dan separa mahir di mana majikan berkenaan berada di negeri Sabah khususnya di Lahad Datu,” jelasnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah JTK Sabah, Enchana Atto.

Di samping itu, Hajah Siti Aishah memaklumkan jabatannya juga mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan dan Pameran bertujuan bagi memberi informasi mengenai fungsi serta peranan jabatan tersebut kepada orang ramai.

Katanya, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berjumpa sendiri dengan pegawai untuk mendapatkan penerangan, penjelasan dan bantuan khidmat nasihat sekiranya terdapat sebarang masalah atau pun kemusykilan berkaitan dengan penggajian atau pekerjaan mereka.

 
By : OLEH MARLINA MACPEE
 
New Sabah Times