Hajiji: Lebih banyak rumah kos rendah dalam RMK-10

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan terus memberi fokus dalam membina lebih banyak rumah kos rendah terutamanya dalam Rancangan Malaysia ke-10(RMK-10).

Menterinya, Datuk Haji Hajiji Hj Noor berkata, projek pembinaan rumah akan terus dilaksanakan dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi rakyat di Sabah khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka 1Perayaan anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di Dewan SESB, Karamunsing dekat sini pada Selasa.

“Sememangnya kerajaan negeri melalui LPPB sentiasa komited dan memberikan tumpuan utama dalam menyediakan kemudahan kediaman kepada rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah,” katanya.

Ditanya sama ada ada terdapat projek-projek perumahan yang bermasalah, menurut Hajiji ada sebahagian projek perumahan menghadapi kelewatan untuk disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Terdapat projek perumahan di beberapa buah daerah di negeri ini menghadapi sedikit kelewatan untuk disiapkan.

“Antaranya seperti di Kunak, Keningau, Lahad Datu dan Kudat,” katanya.

Menurutnya, projek perumahan di Lahad Datu di kendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) manakala Projek perumahan di Kunak dan Keningau pula dibawah kendalian Jabatan Perumahan Negara.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak SPNB dan Jabatan Perumahan Negara menjalankan pemantauan dengan memastikan setiap projek perumahan yang dilaksanakan dapat dipercepatkan.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka itu ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Edward Yong Oui Fah dan Datuk Ghulam Haidar Khan, Pengerusi LPPB Datuk Rubin Balang, Pengurus Besar LPPB Jenar Lamdeh dan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Datuk Mohd Suhaili Hj Said, Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Abidin Madingkir dan Timbalan Setiausaha Tetap KKTP Rayman Loudrize.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka 1 Perayaan yang merangkumi tiga perayaan iaitu Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Kaamatan itu diserikan dengan persembahan nyanyian.

Mahkamah Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), LPPB dan KKTP masing-masing menyediakan beberapa jenis juadah untuk dihidangkan menerusi gerai-gerai dipamerkan.

 
By :
 
New Sabah Times