Ketua Adat disaran jalankan tugas dengan penuh dedikasi

 

RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menggesa dan menyarankan kepada semua Pemegang Adat di Ranau, khususnya kawasan N.31 Paginatan supaya memahami tugas dan peranan masing-masing serta melaksanakannya dengan jujur, amanah serta penuh tanggungjawab.

Beliau menyarankan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung dan Persatuan Pemegang Adat (Ketua Kampung) peringkat DUN Paginatan di Dewan Terbuka Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dekat Lapangan Terbang Lama Ranau, baru-baru ini yang dihadiri 90 orang Pemegang Adat kawasan Paginatan.

Menurut Datuk Abidin, para Pemegang Adat yang telah dilantik merupakan ‘Mata dan Telinga’ kerajaan bagi memastikan semua adat yang telah di tetapkan di sesebuah kampung dapat dipatuhi seadil-adilnya oleh lapisan masyarakat.

“Kamulah wakil kerajaan untuk melaksana serta menguatkuasakan Adat di peringkat kampung demi kebaikan semua pihak”, jelasnya.

Beliau mengharapkan matlamat penubuhan persatuan dapat menjaga kebajikan am, mengeratkan perasaan muhibah serta saling hormat-menghormati khususnya di kalangan pemegang adat dan masyarakat setempat selain mewujudkan perpaduan di antara penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

Datuk Abidin meluluskan peruntukan RM10 ribu untuk tiga DUN iaitu RM3,000 (DUN Kundasang), RM3,000 (DUN Karanaan) dan RM4,000 untuk DUN Paginatan. Tujuannya ialah bagi membiayai aktiviti di ketiga-tiga DUN berkenaan.

Beliau yang juga mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, meluluskan sumbangannya berjumlah RM10 ribu lagi untuk persatuan ketua adat N.31 Paginatan.

Sempena majlis itu, turut diumumkan peruntukan RM46 ribu daripada kerajaan negeri untuk membiayai pakaian seragam ketua-ketua adat daerah Ranau.

Terdahulu Pengerusi Persatuan, Jabay@Jaibi Bin Surugau dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Datuk Abidin, sambil mengharapkan pewujudan persatuan dapat memperkasakan tanggungjawab dan peranan ketua-ketua adat yang telah menerima perlantikan dengan harapan mereka mampu menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Beliau menegaskan cogan kata persatuan ‘Bersatu-Bekerjasama-Mewujudkan Perpaduan-Meringankan Beban’ hendaklah dijadikan titian untuk memperkasakan tanggungjawab serta memupuk perpaduan di kalangan pemegang adat dengan penduduk setempat.

Jabay yang juga Ketua Anak Negeri (KAN) Daerah Ranau, mewakili persatuan berterima kasih di atas sumbangan Datuk Abidin yang bukan sahaja membiayai pakaian ketua adat tetapi juga menyumbangkan RM10 untuk persatuan ketua adat N.31 Paginatan yang ditubuhkan pada 5 Disember 2019 seterusnya telah didaftarkan oleh Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Sabah pada 26 Februari 2020 dengan nombor pendaftarannya PPM-024-12-260220202.

Turut hadir pada majlis itu ialah PPM Paginatan, Mohd Hisyamuddin Bin Harun, Ketua Daerah, Attin Naisin, Pemaju mukim Paginatan, Sainin@Onit Bin Abd. Hamid, Pemaju Mukim Nalapak, Hellary Samiun, WKAN Paginatan, Oredi Bin Rudin dan CDO Paginatan, Jipili Sigal.

 
By :
 
New Sabah Times