PGM Tawau rampas 100 tong gas cuba diseludup

 

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) merampas 100 tong gas Petroleum bernilai kira-kira RM12,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini, Rabu lepas.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau DSP Husaini Zainal Abidin berkata, berikutan itu pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an, yang merupakan juragan bot serta pemilik kesemua tong gas berkenaan.

Menurutnya, pada kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lima anggota PGM yang sedang memantau kawasan tebing Sungai Tanjung Batu, terlihat seorang lelaki yang sedang sibuk memunggah tong-tong gas ke dalam sebuah jongkong berwarna biru.

Ketika diperiksa katanya, lelaki berkenaan gagal menunjukkan dokumen lesen yang sah, berkaitan tindakannya memunggah tong-tong gas berkenaan.

Suspek katanya kemudiannya ditahan dan kesemua tong gas berserta jongkong dan dua enjin sangkut, kemudiannya dirampas.

Rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM25,000.

“Kita akan menyerahkan kes ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Tawau, untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap daripada tong-tong gas itu adalah mengandungi cecair petroleum seberat 14 kilogram.

Sementara itu dalam kes berasingan, Husaini memberitahu bahawa pihaknya turut merampas sebanyak 310 bungkus gula pasir di kawasan Pelabuhan Tawau, pagi kelmarin.

Kesemua bungkusan gula seberat 1 kilogram setiap satu itu katanya ditemui hasil pemeriksaan ke atas 15 bungkusan plastik hitam, yang diletakkan di atas jeti terminal di pelabuhan itu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya gagal mengesan pemilik kesemua bungkusan gula tersebut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM542.50.

 
By : OLEH MOHD. ZAFRIN NORDIN
 
New Sabah Times