EMPAT TONGGAK PENTING LAKSANA AGENDA KERAJAAN

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat perkara yang menjadi tonggak penting untuk melaksanakan agenda kerajaan bagi tahun ini.

Beliau berkata empat perkara itu ialah gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya dua perkara lain yang menjadi sebahagian daripada empat tonggak itu ialah pemikiran yang kreatif dan inovatif serta kepantasan membuat keputusan, dasar dan pelaksanaan, yang berkaitan dengan daya saing sesebuah negara.

“Saya harap penjawat awam akan beri komitmen sepenuhnya apa yang dianggap penting untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

“Agenda kita untuk tahun ini dan dengan aliran pemikiran kita, jika digabungkan, tahun ini boleh menjadi tahun yang berjaya,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini kelmarin.

Najib berkata gagasan 1Malaysia bukan slogan atau retorik semata-mata tetapi membawa pengertian yang amat mendalam dari segi dasar, pendekatan dan perubahan yang hendak dilakukan oleh kerajaan.

Katanya ia merupakan satu usaha bagi memacu perpaduan nasional yang membawa kepada kestabilan dan bergerak dalam satu keluarga yang besar untuk menuju matlamat yang sama.

“Terdapat kumpulan dan individu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, dan walaupun ia kecil tetapi ingat, bara kecil yang tidak dipadamkan, boleh menjadi api yang akan menghancurkan dan membinasakan kita.

“Jika gereja dan surau dibakar, kepala khinzir dicampak ke perkarangan masjid, ini adalah perkara serius yang mesti ditangani bersama.

“Gagasan 1Malaysia amat penting, kita mesti memupuk rasa kekeluargaan sesama kita walaupun pelbagai kumpulan etnik, budaya dan sebagainya tetapi kita adalah 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata Rakyat Didahulukan kerana mahu kerajaan di lihat sebagai kerajaan untuk rakyat dan kerana rakyat dan ia mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar dan program.

“Jika tidak, rakyat akan bersikap sinis, umum satu dasar atau program tetapi pelaksanaannya masih timbul banyak persoalan.

“Begitu juga dengan GTP, ia mesti dijayakan seperti ketetapan dan aku janji kita kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata Model Ekonomi Baru yang akan dibentangkan pada penghujung bulan depan bertujuan memberi suntikan kepada pembangunan ekonomi negara agar daya saing negara lebih kompetitif.

“Ia berpindah daripada berpendapatan pertengahan sebagai sebuah negara yang lebih kompetitif dan lebih berjaya. Ini (Model Ekonomi Baru) akan merumuskan strategi ekonomi untuk negara,” katanya.

Najib berkata RMK-1O akan mengandungi banyak ketetapan yang telah dibuat dalam GTP, Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan juga Model Ekonomi Baru.

Katanya penjawat awam perlu mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif yang merupakan satu proses menghargai ciptaan yang perlu diterapkan dalam sistem, ekonomi dan pembangunan yang tidak berkaitan dengan Sains dan Teknologi serta Kajian dan Penyelidikan (R&D) semata-mata.

Beliau berkata membuat sesuatu keputusan dengan cepat juga mempunyai kaitan dengan produktiviti dan daya saing negara yang akan dinilai seperti oleh ‘World Competitiveness Report’.

“Jika negara berada pada tahap top 10, tentu sekali orang akan lihat kita berada pada saf negara yang kemampuannya tinggi,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada Persidangan Ekonomi 1Malaysia anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Najib berkata subsidi untuk industri dan pengguna perlu di struktur semula dan dimansuhkan secara beransur-ansur supaya dapat meningkatkan persaingan domestik bagi memberi lebih kebebasan kepada kuasa pasaran dan inisiatif swasta.

“Peruntukan sumber negara yang lebih baik yang telah di salah peruntukan kerana subsidi yang banyak perlu ditangani,” kata .

Beliau berkata negara tidak berupaya menyediakan tenaga dengan subsidi yang berlebihan dan di bawah harga sebenar.

Najib berkata membentuk industri yang baru perlu dilakukan dengan cara berbeza dan berdasarkan kepada kemahiran, teknologi, akses kepada modal serta sokongan pemasaran.

“Bukan dengan perlindungan. Kita perlu setia sebagai juara domestik kerana juara domestik boleh menjadi juara serantau dan juara dunia.

“Lebih awal kita menyedari realiti ini, adalah lebih baik untuk kita,” kata beliau.

Menurut Najib, kerajaan kini dalam proses memperkemas institusi, dasar dan dan prosedur untuk menjadikannya mudah kepada pelabur untuk melabur.

“Apa yang kita perlukan bukan pelaburan swasta yang ketara tetapi juga yang tidak ketara,” katanya.

Kajian oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa 60 hingga 80 peratus daripada kekayaan negara boleh dalam bentuk aset tidak ketara seperti teknologi proprietari, harta intelek, jenama dan institusi.

Najib berkata Malaysia perlu melakukan lebih lagi untuk mewujudkan aset tidak ketara ini kerana pelaburan dalam aset ini amat penting.

“Lihat pada negara-negara yang berpendapatan tinggi, syarikat dan industri nilai tinggi mereka mempunyai nisbah tinggi dalam pelaburan tidak ketara,” katanya.

 
By :
 
New Sabah Times