Eddika juara Mr Kaamatan, Petra johan Unduk Ngadau anjuran Keningau Mall

 

KENINGAU: Eddika Idam, 25, berasal dari Kampung Dangulad dan Petra Saily Zamry,18, dari Kampung Ambual, di sini masing-masing dinobatkan sebagai juara Mr Kaamatan dan Unduk Ngadau anjuran Keningau Mall pada tahun ini.

Eddika menewaskan 11 peserta lain dalam pertandingan itu dan seterusnya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,500, trofi dan hadiah iringan.

Manakala tempat kedua dan ketiga bagi pertandingan Mr Kaamatan masing-masing disandang oleh Jailexsius Tanis, 19, berasal daripada Kampung Tikolod Tambunan dan Rectendy Andy, 19, berasal dari Kampung Kapakaan Biah.

Pemenang tempat kedua dan ketiga tersebut masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800, trofi dan hadiah iringan lain.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga bagi acara Unduk Ngadau Keningau Mall 2019 telah sandang oleh Jennyfer Severinus, 18, berasal dari Pekan Sook dan Grace Jorest Josip, 18, dari kampung Lingkudau.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi acara Unduk Ngadau tersebut masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, RM1000 dan RM800, mahkota, trofi dan hadiah iringan lain.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Penganjur merangkap Pengurus Keningau Mall, Tracey Liew.

Tracey ketika berucap berkata, melalui penganjuran Pesta Kaamatan yang diadakan ini diharap Keningau Mall dapat memupuk dan menyumbangkan semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.

Selain itu katanya, melalui perayaan Pesta Kaamatan itu, sekurang-kurangnya dapat menggalakkan belia dan beliawanis untuk lebih mengenali, menerapkan dan memartabatkan adat budaya dan bahasa khususnya daripada kaum Kadazandusun Murut (KDM).

“Tujuan lain kita mengadakan perayaan sambutan Pesta Kaamatan seumpama ini bagi menyumbangkan usaha daerah ini dalam menarik lebih ramai pelancong datang berkunjung ke daerah ini dan seterusnya mengenali budaya tardisi pelbagai kaum yang terdapat di daerah ini,” katanya.

Pada majlis itu, Keningau Mall turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Persatuan Orang-Orang Pekak Keningau dan Persatuan Pesakit Thalassaemia Cawangan Keningau sebanyak RM1500 bagi setiap persatuan.

Pesta Kaamatan Keningau Mall yang diadakan pada Sabtu dan Ahad itu turut diserikan lagi dengan pelbagai persembahan.-OLEH RIZALMI LIMAN

 
By :
 
New Sabah Times