Nilai dan fungsi gong

 

GONG merupakan alat muzik yang diperbuat daripada tembaga dalam pelbagai bentuk, bunyi dan juga nama panggilan setiap gong. Gong merupakan tulang belakang dalam kebanyakkan arena permainan muzik masyarakat di Sabah dan digunakan dalam upacara sosial. Di negeri Sabah amnya alat muzik ini berkait rapat dengan kebudayaan masyarakat yang berbilang kaum yang digunapakai bukan sahaja dalam pesta keramaian atau majlis perkahwinan tetapi alat ini juga digunakan dalam upacara ritual atau pengubatan orang sakit.

Bagi suku kaum Kadazandusun satu ketika dahulu, alat muzik ini adalah harta yang tidak ternilai. Jika alat ini diwariskan turun temurun daripada nenek moyang mereka makanya peralatan ini dianggap sebagai harta pusaka, dan juga melambangkan keberadaan kepada empunya alat-alat berkenaan.

Di kepulauan nusantara ini kepergunaan peralatan gong berkaitrapat dengan kehidupan manusia dimana ia digunakan dalam pelbagai jenis acara dan upacara. Bagi suku kaum Kadazandusun peralatan ini digunapakai hampir dalam kesemua upacara sosial seperti pesta Kaamatan, majlis perkahwinan dan kematian.

Dalam acara pesta dan majlis perkahwinan pelbagai suku kaum di negeri Sabah menggunakan gong sebagai alat muzik untuk mengiring tarian namun bilangan peralatan itu tidaksama kerana ia mengikut keperluan setiap suku bangsa dan juga muzik berbeza.

Dalam persembahan tarian, peralatan ini wajib untuk mengiringi tarian seperti sumazau atau sumayau bagi suku kaum Kadazandusun termasuklah tarian Mongigol dan Sumandai. Anggalang bagi masyarakat Murut dan Limbai serta Betitik bagi masyarakat Bajau.

Gong yang dinamakan “Canang” Kimanis atau “Canang Tinukul” merupakan hantaran berian kahwin bagi masyarakat Kadazandusun di daerah Tambunan dan daerah Kota Marudu yang masih diamalkan hingga ke hari ini dan mempunyai nilai yang tinggi.

Bagaimanapun, kini boleh ditukarkan dengan nilai ringgit kerana ia sukar untuk diperolehi pada ketika ini.

Upacara ritual pengubatan pula, gong digunakan untuk mengiringi mentera bagi sebilangan masyarakat di daerah Beaufort dan Kuala Penyu dan masih diamalkan hingga ke hari ini. Selain itu gong juga digunakan sebagai alat memberi amaran atau isyarat untuk memberitahu sesuatu bencana berlaku atau pun isyarat orang meninggal. Jenis sesuatu isyarat boleh diketahui melalui rentak paluan gong tersebut.

Di daerah Tambunan, gong yang dipalu dengan rentak “Dunsai” menandakan ada orang meninggal dunia dan rentak sebagai isyarat pemberitahuan kepada masyarakat setempat yang kemudiannya tersebar dari mulut ke mulut.

Gong digunakan sebagai alat komunikasai untuk menyampaikan berita kesedihan sebelum ada peralatan komunikasi canggih seperti telepon bimbit sekarang. Rentak “Monigagang” pula adalah untuk memberitahu bahawa ada kebakaran atau bencana alam berlaku.

Selain digunakan alat muzik, hantaran berian dan memberi isyarat. Bagi orang yang berada suatu ketika dahulu gong juga digunakan sebagai penutup mulut tempat mayat disimpan sebelum disemadikan di tanah perkuburan. Ini terbukti dalam penemuan arkeologi pada sebilangan perkuburan kuno di negeri ini. Apapun amalan ini tidak lagi diamalkan oleh masyarakat zaman ini.

Pada suatu ketika dahulu, peralatan gong disimpan dengan rapi di tempat tertentu dan tidak dibenarkan sesiapa untuk menganggunya apalagi untuk memalu gong itu terutamanya gong yang dinamakan “Tawag” atau “Tawag-Tawag” kerana Tawag selalunya digunakan untuk tujuan isyarat.

Seandainya ada orang yang sengaja memalu gong Tawag dengan paluan dan bunyi isyarat orang meninggal sehingga dapat mengganggu dan membuat orang lain “Kadaat” (Kadazandusun) terhenti membuat kerja atau membatalkan kerja yang telah ditetapkan maka si pemalu itu akan dikenakan tindakan adat oleh ketua kampung dengan denda “sogit” sama ada ayam atau pun babi dan dikenakan juga membayar ganti rugi kepada yang terlibat.

Peralatan ini juga sebagai penyelamat nyawa kepada orang lain seandainya berlaku kebakaran rumah atau pun bencana yang melanda sesebuah kampung. Bagaimanapun, memandangkan gong kini jarang digunakan bagi maksud memberi isyarat, maka generasi muda hanya mengenali paluan gong rentak tarian. Berikut adalah nama-nama panggilan setiap gong khususnya di kampung Sunsuron di daerah Tambunan iaitu pertama ‘Sarak sarak’ dan disusuli ‘Lambatan’, ‘Kuribadon’, ‘Tong-toongon’, “Dururung tolombou’, ‘Kutou toun’, ‘Tawang’ dan ‘Gadang’.

 
By : Rencana
 
New Sabah Times