YEO BOON HAI DILANTIK MAYOR BAHARU BANDARAYA KK

 

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu, menggantikan Datuk Abidin Madingkir yang tamat perkhidmatan pada 1 Feb.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataan kelmarin berkata pelantikan Yeo berkuat kuasa pada 2 Feb.

“Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan tahniah kepada Mayor yang baharu. Selamat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi yang tinggi,” kata Musa.

Yeo dilahirkan di Sipitang, Sabah dan berkelulusan Bachelor Sains dengan kepujian Kelas Dua dalam bidang Biologi Persekitaran dari United Kingdom.

Beliau menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1980 sebagai Pegawai Alam Sekitar di Kementerian Pembangunan Sumber dan Alam Sekitar.

Yeo pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan awam negeri Sabah termasuk sebagai Pegawai Daerah Beaufort dan Kudat, Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan terakhir sebagai Ketua Pengarah DBKK.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Abidin atas dedikasi dan khidmat cemerlangnya sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

Menurut Musa, sepanjang perkhidmatan Abidin, beliau membawa banyak perubahan dan kemajuan khususnya kepada DBKK dan warga bandar raya seterusnya menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya peranginan semula jadi yang menarik, indah dan sejahtera.-Bernama

 
By :
 
New Sabah Times