KPDNHEP pastikan peniaga sentiasa patuh undang-undang

 

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

TUARAN: Usaha berterusan dalam mengawal dan memastikan peniaga menjalankan peranan sebagai peniaga bertanggungjawab sentiasa diteruskan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Tuaran, Siti Kamaliah Syamsuddin berkata usaha KPDNHEP dalam memastikan peniaga mengikuti undang-undang yang diperuntukkan sentiasa menjadi fokus dan dijalankan melalui operasi bersepadu.

Katanya, operasi bersepadu adalah satu usaha berterusan yang dijalankan setiap suku tahun bagi memastikan permasalahan dan aduan yang diterima daripada pengguna dapat diselesaikan.

“Operasi bersepadu biasanya kita jalankan setiap tiga atau empat bulan dan menjadi fokus kita sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk melihat masalah-masalah utama yang melibatkan peniaga dan pengguna seperti harga barang jualan, alat timbang, barang tiruan dan lain-lain masalah yang diadu oleh pengguna,” katanya ketika ditemui New Sabah Times sebelum operasi itu bermula pagi kelmarin.

Operasi yang dijalankan mulai pukul 9.30 pagi kelmarin telah dijalankan dengan gabungan pihak KPDNHEP, Majlis Daerah Tuaran dan pihak kesihatan.

“Hari ini kita telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap lebih 70 buah penggerai dan premis di sekitar tamu Tuaran yang berjalan setiap hujung minggu ini dan kita telah mengenakan kompaun kepada lapan penggerai di sini dengan nilai sebanyak RM800.

“Tujuh daripadanya adalah tertakluk dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakal satu lagi adalah tertakluk di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya kepada pemberita selepas ditemui selepas tamat operasi.

Seramai 17 anggota terlibat dalam operai bersepadu yang diadakan buat kali pertama bagi tahun 2019 itu. Jelas Siti Kamaliah, pihaknya telah menerima aduan dan berjaya menyelesaikan aduan yang diterima selain daripada meneruskan siasatan untuk beberapa aduan lain.

“Dari Januari sehingga Mac, kita telah mendapat 22 aduan dan kita ada 45 kes yang kita telah ambil tindakan di seluruh kawasan Tuaran untuk tempoh masa awal tahun sehingga hari ini dan diantaranya, kita berjaya menyelesaikan 26 buah kes dan selebihnya kami masih menjalankan siasatan dan perincian lanjut,” katanya.

Terkini, nilai rampasan yang berjaya dibuat oleh pihak KPDNHEP Tuaran sepanjang Januari hingga Mac tahun ini adalah berjumlah RM164, 039.00 dan nilai kompaun pula berjumlah RM16,550.00.

“Kita meneliti dan mengambil tindakan dengan merujuk kepada Akta Jualan Langsun dan Skim Anti Piramid 1993, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 20111 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” tambahnya lagi.

Beliau turut menasihati para peniaga untuk sentiasa menjadi peniaga yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan dengan meletakkan tanda harga untuk memberi kesenangan kepada pengguna dalam membanding dan memilih.

“Peniaga harus meletakkan tanda harga untuk memudahkan urusan pengguna manakala pengguna pula harus menjadi pengguna bijak dengan memilih barang jualan yang diyakini dari segi keselamatan dan membayar dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Pengguna yang ingin mengemukakan aduan boleh terus menghubungi talian bebas tol KPDNHEP atau membuat aduan secara dalam talian melalui e-aduan.

Selain itu, pengguna di sekitar daerah Tuaran juga boleh terus ke Pejabat KPDNHEP Tuaran di Tingkat 2, Bangunan Majlis Daerah Tuaran.

Operasi bersepadu itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.00 tengah hari.

 
By :
 
New Sabah Times