Ribuan hadiri konsert Maher Zain

 

OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

KONSERT Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 menutup tirai dengan siri terakhir di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah pada Ahad malam.

Dihadiri lebih ribuan peminat setia artis kacukan Swedan-Lubnan ini, nyata memberi suatu keterujaan luar biasa untuk mereka yang berpeluang menghadiri konsert itu.

Terdahulu Maher Zain turut beraksi dalam siri jelajah yang sama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sebanyak 21 lagu diperdendangkan kepada penonton yang hadir.

Siri konsert yang dibawakan oleh CIMB Islamic Berhad bersama New Catalyst Resources (NCR) dan My Events International dengan kolaborasi Awakening Music.

Turut hadir Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Konsert jelajah itu turut membuka ruang kepada syarikat penaja untuk memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat mereka dan turut membawa kanak-kanak daripada rumah anak yatim, rumah perlindungan, maahad tahfiz serta ibu tunggal untuk sama-sama memeriahkan dewan.

Beliau yang merupakan artis antarabangsa yang telah merangkul sebilangan anugerah platinum, turut menjadikan rentak lagu dan bait-bait lirik yang menyentuh kalbu di samping menyelitkan mesej keagamaan yang mampu dijadikan iktibar.

Selain menyanyi, Maher Zain juga merupakan penulis dan penerbit lagu yang disegani di peringkat dunia melalui hasil karya beliau yang memfokuskan kepada lagu berkonsepkan ketuhanan secara universal.

Karya agung beliau yang pertama iaitu ‘Thank You Allah’ telah diterbitkan pada tahun 2009 diikuti oleh ‘Forgive Me’ pada tahun 2012 turut menjadi siulan anak muda.

Album terakhir beliau berjudul ‘One’ yang telah diterbitkan pada 2016 juga turut mendapat tempat di hati peminat melalui carian internet.

 
By :
 
New Sabah Times