Penduduk minta k'jaan bantu selesai masalah

 

Oleh ROZZALIN HASHIM

SANDAKAN: Penduduk Kampung Tinusa 1 di Batu 7, dekat sini kelmarin memohon campur tangan Kerajaan Negeri agar membantu menyelesaikan sekaligus memperjuangkan nasib penduduk kampung dengan memberi jalan penyelesaian supaya mereka dapat menduduki rumah sedia ada.

Lebih 50 orang penduduk kampung daripada 22 ketua keluarga berkumpul membuat bantahan bagi menghalang perobohan rumah atas tanah yang diduduki selama hampir 30 tahun.

Sebanyak 23 rumah dan dianggarkan melebihi 180 orang penduduk akan terjejas sekiranya nasib penduduk kampung berkenaan tidak mendapat pembelaan.

Ia berikutan notis yang dikeluarkan menetapkan supaya mengosongkan kawasan seluas kira-kira dua hektar, bermula 27 Disember 2018 hingga hari ini, selepas rayuan penduduk bagi mendapatkan tanah terbabit gagal di Mahkamah Kota Kinabalu pada Ogos lepas.

Menurut, Samsudin Baco isu pertikaian tanah di kawasan tersebut berlaku sejak lebih 20 tahun lalu apabila tanah yang dibeli daripada individu tertentu dengan harga antara RM2,500 hingga RM10,000 bergantung kepada keluasan tapak rumah dan didiami sejak 1990-an didakwa sudah dimiliki individu lain dengan tanah berstatus pegangan pajakan (CL).

Beliau berkata, tuntutan tanah oleh pemegang geran CL bermula sejak 1996 sebelum mereka memperolehi perintah mahkamah bagi membongkar rumah dan mengusir penduduk penduduk terbabit sekitar tahun 2000.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut mereka sudah melantik lima peguam untuk membuat tuntutan ke mahkamah, namun akhirnya mereka kalah dalam kes rayuan di Mahkamah Tinggi tahun lalu.

“Apa yang kami harapkan sekarang agar pihak Kerajaan Negeri dapat membantu kami sebab tiada apa lagi yang boleh kami lakukan. Kami sudah hampir 30 tahun di sini, bermakna ia tanah kami, bukan kami tinggal saja, malahan ada bukti pembelian,” jelasnya mewakili penduduk kampung kepada pemberita dalam sidang akhbar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Generasi Endrekang Sabah, Erwin @ Batilis Jeraman, berkata penduduk juga turut melaporkan masalah terbabit kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu mencari jalan penyelesaian.

Mereka amat mengharapkan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal dapat membantu agar penduduk kampung mempertahankan hak mereka.

 
By :
 
New Sabah Times