Segerakan kerja-kerja baik pulih bangunan: NUTP

 

RANAU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), mahu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menyegerakan kerja-kerja baik pulih kuarters guru di daerah Ranau yang terjejas teruk akibat gempa bumi pada Jun tahun lalu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Lok Yim Pheng, kerja-kerja pembaikan struktur bangunan yang rosak perlu disegerakan demi keselamatan serta keselesaan guru-guru yang menghuninya.

“Beberapa orang guru terpaksa mengambil risiko untuk terus tinggal di kuarters yang rosak kesan gempa kerana tidak mempunyai pilihan lain walaupun berdepan situasi tidak selamat dan sentiasa dibelenggu kerisauan sepanjang masa.

“Difahamkan pihak pentadbir sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah menghantar laporan kepada pihak berwajib, tetapi sehingga kini sudah hampir tujuh bulan, belum ada tindakan sepenuhnya diambil untuk membaiki bangunan kuarters yang rosak,” katanya.

Lok yang juga Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) dengan tegas mohon supaya tindakan segera diambil pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku disebabkan kelewatan kerja-kerja baik pulih.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan dan penyerahan bantuan berupa buku dan alat tulis kepada pelajar-pelajar di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Pai Wen, Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau (SMKR) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohammad Ali (SMKA) di sini pada Khamis.

Lawatan sehari NUTP ke beberapa sekolah di daerah ini diketuai sendiri Presidennya, Hashim Adnan, bersama Datuk Lok dan wakil CUEPACS Negeri Sabah, Ajulahin Japin.

Pada 5 Jun tahun lalu, gempa bumi dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter yang berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira 16 kilometer di barat daya Ranau belaku kira-kira jam 7.15 pagi mengakibatkan beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk termasuk termasuk bangunan sekolah dan kuarters guru. – OLEH ADUKA JASNIN SUMAN

 
By : ADUKA JASNIN SUMAN.
 
New Sabah Times