Graduan Politeknik punyai nilai baik di pasaran kerja

 

KOTA KINABALU: Kira-kira 38.4 peratus atau seramai 614 graduan Politeknik Kota Kinabalu yang tamat pengajian di institusi itu pada 2007 berjaya mendapat pekerjaan, manakala selebihnya melanjutkan pelajaran.

Pengarahnya Mustafar Kamar Ujang berkata perkembangan itu menunjukkan graduan Politeknik Kota Kinabalu di peringkat diploma dan sijil mempunyai nilai yang baik di pasaran kerja, khususnya dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan.

“Politeknik Kota Kinabalu sentiasa memantau pencapaian bekas pelajar-pelajarnya me-lalui Kajian Pengesanan Graduan.

“Kejayaan graduan mendapat pekerjaan juga berikutan kerjasama politeknik dengan 400 firma tempatan di mana para pelajar ber-peluang menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran melalui Latihan Industri selama satu semester,” katanya pada Majlis Konvo-kesyen Politeknik Kota Kinabalu Ke-13 di sini kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 58 peratus daripada jumlah itu kini bekerja di sektor swasta tempatan manakala 9.6 peratus di sektor swasta multinasional.

Seramai 3.1 peratus pula bekerja dengan badan berkanun dan 5.5 peratus di syarikat berkaitan kerajaan, manakala 11.6 peratus mendapat pekerjaan di sektor awam atau menjalankan perusahaan sendiri.

Dalam perkembangan lain, Mustafar Kamar berkata Politeknik Kota Kinabalu akan melaksanakan program asas bagi orang kurang upaya (OKU) dalam bidang perhotelan dan katering.

Katanya, langkah itu bagi memberi peluang golongan itu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, sekaligus memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Pada konvokesyen itu, seramai 733 graduan menerima sijil dan diploma dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrik, perdagangan dan hospitaliti yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah.

 
By : Bernama
 
New Sabah Times