Program Pendidikan Pencegahan Dadah terus dilaksanakan

 

OLEH RIZALMI LIMAN

KENINGAU: Program Pendidikan Pencegahan Dadah di peringkat akar umbi, khasnya kepada golongan pelajar adalah sangat penting untuk dilaksanakan secara berterusan.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis berkata, hal ini disebabkan oleh keperluan mendesak apabila senario dadah semasa seringkali menjadi ancaman yang merisaukan kepada para ibubapa, pendidik dan juga semua peringkat pemimpin, termasuk di peringkat kampung dan komuniti secara keseluruhannya.

Katanya, adalah menjadi peranan seluruh anggota masyarakat termasuk Ibubapa, guru dan juga agensi berkaitan untuk terus bergiat aktif dalam melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan sebagai langkah bijak bagi mengelakkan golongan muda daripada terus terjerumus dalam masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah pada masa akan datang.

“Usaha ini juga penting bagi mengekalkan modal insan yang baik dan berkualiti pada masa hadapan dan memiliki ilmu penolakan yang kukuh terhadap hasutan dadah,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) Siri 3/2018 Anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Keningau, bertempat di Kem PULAKO, IPG Kampus Keningau, di sini Ahad.

Selain itu juga, beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas penganjuran program pencegahan dadah secara berterusan di daerah ini yang turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, Pejabat Kesihatan Keningau, Pusat Kokurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau dan Pusat Kokurikulum (Pusat Ko), Pejabat Pendidikan serta guru-guru sekolah yang terlibat.

Sementara itu, Penyelaras Program Azry Golbin Azmi turut menyatakan bahawa dalam masa terdekat pihaknya akan mengadakan Bengkel Pencegahan Dadah kepada pemimpin-pemimpin di peringkat kampung dalam usaha memperkasakan peranan anggota masyarakat dalam memerangi permasalahan dadah secara bersama di setiap kampung masing-masing.

Katanya, penganjuran program berkenaan dijangka akan diadakan pada penghujung bulan September ini dan dianggarkan sekitar 100 orang pemimpin kampung akan menyertai program tersebut.

Pada Program Kem SHIELDS Siri 3/2018 ini telah disertai seramai 50 orang pelajar melibatkan lima sekolah di daerah ini yang dijalankan selama tiga hari.

Pesertai terbaik untuk Kem tersebut bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing disandang oleh Zulkarnain Jais dan Nurfazira Yusip.

Turut hadir pada majlis itu Pegawai Khas Dadah, Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, Usrah Abdul Wahid.

 
By :
 
New Sabah Times