Mesej Skim Kaingaran bakal jadi model pembangunan Mesej di Sabah

 

TAMBUNAN: Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Skim Kaingaran yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas bakal menjadi model pembangunan Mesej di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick.

Beliau berkata para peserta Mesej di kawasan itu bukan sahaja disediakan kemudahan rumah yang lengkap dengan bekalan elektrik dan air graviti tetapi juga kemudahan aminiti sosial yang lain.

“Saya amat berpuas hati dengan kemajuan Mesej Kaingaran. Kalau saya lihat kemudahan di kawasan ini, saya boleh katakan, ini satu model pembangunan Mesej yang boleh kita bawa ke kawasan lain,” katanya selepas melawat Mesej Kaingaran, di sini, baru-baru ini.

Mesej Skim Kaingaran seluas 300 ekar, mempunyai 33 buah rumah Mesej, dilengkapi Dewan Serbaguna yang lengkap dengan bekalan elektrik, air, ruang dapur, bilik pejabat dan tandas.

Kemudahan lain yang terdapat di Mesej itu ialah jalan raya aspal dari Pekan Tambunan ke Mesej sepanjang 8.9km, jalan konkrit ke rumah-rumah dan kawasan rumah yang luas untuk bercucuk tanam.

Mesej Kaingaran disertai 33 peserta yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di kawasan Tambunan.

Mengenai prestasi 52 Mesej lain di seluruh Sabah, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebahagian daripada Mesej itu sedang dibangunkan dan ada yang masih dalam proses pemilihan dan saringan peserta.

“Ada Mesej yang boleh kita berikan dividen seperti Mesej Kelapa Sawit Keningau dan beberapa Mesej di daerah lain. Tetapi di Tambunan ini, mereka baru sahaja menoreh dan akan menikmati dividen yang sama pada tahun akan datang,” katanya.

Ewon juga mahu program pembasmian kemiskinan masyarakat luar bandar di negeri ini terutama Mesej ditambah nilai bagi meningkatkan keberkesanannya dalam mengurangkan kadar kemiskinan tegar.

Katanya, ini penting bagi memastikan wawasan murni kerajaan itu dapat direalisasikan sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat.

“Saya mahu para peserta program Mesej dapat mempelbagaikan ekonomi untuk mendapat pendapatan sampingan seperti aktiviti pertanian kontan dan perusahaan ternakan di kawasan Mesej dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber (Program Mesej) saja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Wilayah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Negeri Sabah Alexius Madiun berkata, Mesej Getah Kaingaran adalah satu daripada 17 Mesej Getah di seluruh negeri.

“Ini (Mesej Getah) bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan merupakan projek terancang daripada kerajaan untuk membantu meningkatkan pendapatan penduduk kampung terpilih kerana kawasan ini bukan sahaja disediakan kemudahan rumah yang selesa tetapi juga kemudahan asas yang lain seperti bekalan elektrik, air, jalan raya aspal dan dewan,” katanya.

Beliau berkata walaupun tanaman getah di kawasan itu boleh ditoreh namun tidak semua getah dapat ditoreh pada masa yang sama kerana pertumbuhan pokok yang tidak sama rata.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Mesej Skim Kaingaran Peter Angal berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan Mesej Getah di kawasan itu.

“Selepas sahaja proses pembahagian lot dan kerja-kerja menorah dimulakan, semua peserta di sini akan mula mendapat hasil dan ini satu berita baik bagi kami. Mesej Kaingaran yang dikendalikan oleh LIGS adalah bantuan terbaik daripada kerajaan untuk kami.

“Kami berharap apa yang kerajaan sediakan ini dapat mengubah taraf kehidupan kami. Kami berjanji akan mengusahakan kawasan ini sedaya upaya untuk meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi keluarga kami,” katanya.

Beliau berkata, pewujudan projek ladang Mesej membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan golongan miskin tegar di kawasan luar bandar.

“Sementara menunggu pokok getah matang sehingga boleh ditoreh, kebanyakan peserta menjalankan kegiatan pertanian lain seperti menanam halia dan ada juga yang mencuba menternak burung walit. Semua ini hasil usahasama daripada Jabatan Pertanian,” katanya.

Peter turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan baharu Sabah terutamanya Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick kerana meluangkan masa melawat kawasan itu.

Seorang lagi peserta Mesej Kaingaran Yotos Gumpah turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peluang kepada penduduk yang tersenarai dalam e-kasih di Tambunan menjadi peserta Mesej Kaingaran.

“Mudah-mudahan dengan adanya bantuan daripada kerajaan ini, dapat memberikan pendapatan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga kami seterusnya mengeluarkan kami daripada kepompong kemiskinan daripada miskin tegar kepada miskin,” katanya.

Setakat ini sebanyak 52 Mesej seluruh Sabah, di mana setiap program Mesej disertai minimum 33 peserta. Daripada jumlah itu, 34 Mesej Pertanian (Getah dan Kelapa Sawit), 6 Mesej Akuakultur (Tiram, Rumpai Laut, Ikan Baulu dan Ternakan Balat), 9 Mesej Mikro Pertanian dan Mesej Mikro Akuakultur dan tiga Mesej Bersepadu (Burung Walit dan Itik Penelur).

 
By :
 
New Sabah Times