Lebih baik tulus mengenai keadaan hutang negara

 

KUALA LUMPUR: Lebih baik tulus mengenai keadaan hutang negara daripada menipu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, kerajaan pada hari ini sanggup berterus-terang dan menolak rasuah selain berusaha melaksanakan pembaharuan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya tindakan mendedahkan hutang negara yang mencecah RM1 trilion akan menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Agensi penarafan berjumpa saya, saya kata apa (yang anda) mahu. Mahu kita tipu, kita boleh tipu, kita tipu. Itukah (yang) dia mahu. Lebih baik (kita) berterus-terang,” katanya dalam temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di saluran televisyen TV3 malam kelmarin.

Rancangan bersiaran selama sejam itu dikendalikan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai moderator.

Daim berkata, bersikap terbuka mengenai keadaan sebenar akan membolehkan agensi penarafanmelakukan analisis yang betul mengenai negara dan keputusan pelaburan.

“Dia (agensi penarafan) datang (ke) negara ini (dengan memperolehi butiran yang) semuanya tulus, kalau kita sembunyi, buat apa, esok terkejut. Jangan (berbuat demikian). Mereka faham,” katanya apabila ditanya mengenai sentimen pelabur.

Daim juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan ke Amerika Syarikat dan United Kingdom malah pelabur juga amat berminat untuk mendengar penjelasan beliau mengenai pembaharuan Malaysia. “Ini yang penting. Jangan sesekali sembunyi. Ini keadaan sebenar. Kita tidak mahu tipu,” katanya.-Bernama

 
By :
 
New Sabah Times