Dr Kamarudin harap pelajar baharu UMS belajar bersungguh-sungguh

 

OLEH JAINUDIN DJIMIN

LABUAN: Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berharap pelajar baharu UMS akan belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tetapi juga menjadi insan yang seimbang dalam semua bidang.

Dr Kamarudin menasihatkan pelajar agar tidak mensia-siakan harapan ibu bapa yang mahu anak mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara serta masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampikan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Sambil mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pelajar baharu kerana memilih UMS, Dr Kamarudin mahu mereka menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menimba pelbagai jenis ilmu dan pengalaman.

“Pelbagai cabaran dan dugaan bakal ditempuhi pelajar selama berada di UMS ini. Pelajar harus bijak menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan bimbingan warga UMS,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Murnizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pembimbing Suai Mesra (PSM) dan AJK MSM yang berusaha gigih sepanjang MSM berlangsung pada 2 hingga 7 Sept ini.

Pada majlis itu, pelajar baharu menyanyikan lagu Negaraku, lagu Wilayah Persekutuan ‘Maju dan Sejahtera’ serta lagu UMS ‘Bertekad Cemerlang’.

Sepanjang minggu ini, pelajar mengikuti pelbagai acara termasuk Majlis Amanat Pengarah, sesi bersama fakulti, sesi bersama sektor, kepimpinan mahasiswa dan majlis penutupan MSM 2018/2019.

Terdahulu, Pelajar Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir (HE20), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Sylwyn Rosel Joseph mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar perempuan yang pertama dipilih mengetuai Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar sempena Majlis Suai Mesra (MSM) Ke- 24, peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bagi Sesi Pengambilan Akademik 2018/2019.

Beliau yang berasal dari Penampang, Sabah mengetuai lafaz ikrar itu di Dewan Utama UMSKAL, kelmarin, yang disaksikan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Turut hadir Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI). Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Zaiton Osman, Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang juga Pengarah Minggu Suai Mesra (MSM) Sesi 2018/2019 dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

 
By :
 
New Sabah Times