Pekebun kecil sawit digalak dapatkan sijil MSPO sebelum Januari 2020

 

KOTA KINABALU: Pekebun kecil sawit di negeri ini digalakkan untuk berusaha mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebelum Januari 2020.

Menurut Pengerusi Lembaga Minyak Kelapa Sawit (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh, kini hanya 5.1 peratus sahaja pekebun kecil sawit di negeri ini yang memiliki pensijlilan MSPO.

“Jadi, ada lagi kira-kira 95 peratus pekebun kecil sawit yang belum memiliki pensijilan tersebut.

“Mereka perlu memiliki pensijilan MSPO bagi membolehkan hasil komoditi mereka dieksport ke luar negara.

“Pensijilan MSPO ini penting agar produk kita menuju ke arah industri sawit yang mampan dan mencapai standard yang dituntut oleh negara pengimport,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, petang kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar para pekebun kecil sawit untuk bekerjasama dengan kerajaan dan MPOB bagi memastikan pengeluaran buah tandan segar ini mematuhi pensijilan MSPO.

Mengulas lanjut mengenai tujuan kunjungannya, Mohd Bakke berkata, adalah untuk memaklumkan perkembangan aktiviti-aktiviti semasa MPOB kepada Shafie selain memohon untuk membantu para pekebun kecil mendapat laluan pantas memiliki MSPO.

Mohd. Bakke merupakan Pengerusi MPOB yang baru dilantik pada 31 Julai 2018 menggantikan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Hadir sama di kunjungan tersebut ialah Ketua MPOB Wilayah Sabah, Bahagian Penguatkuasa dan Pelesenan, Yakup Ibrahim.

 
By :
 
New Sabah Times