Majikan ingkar bayar gaji minimum diambil tindakan

 

OLEH MARUTIN ANSIUNG

KENINGAU: Jabatan Tenaga Kerja (JKT) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan dalam sektor swasta atau syarikat yang engkar membayar gaji minimum kepada pekerja bermula 1 Jan tahun hadapan.

Pengarah Tenaga Kerja Sabah Kamal Bin Pardi berkata, pihak JTK sentiasa melawat premis-premis majikan bagi mengesan majikan yang tidak mematuhi perintah gaji minimum yang berkuatkuasa sekarang iaitu RM1,000 bagi Semenanjung manakala RM920 sebulan bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, majikan tiada lagi alasan tidak tahu perintah gaji minimum kerana kerajaan melalui JTK dari masa ke semasa membuat publisiti melalui surat khabar dan media massa.

Justeru itu katanya, majikan perlu mematuhi perintah pembayaran gaji minimum yang telah dikuatkuasakan termasuklah pembayaran gaji minimum baharu iaitu RM1050 yang diselaraskan di seluruh negara yang akan dilaksanakan pada Januari 2019 seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

“Dalam hal ini, para pekerja juga memainkan peranan melaporkan kepada pihak JTK jika terdapat majikan yang tidak membayar gaji minimum kepada pekerja,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Pekerjaan Sempena Kembara Kerjaya Sabah 2018 Daerah Keningau anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sabah di Dewan Masyarakat di sini kelmarin.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan Rasinin Koutis.

Dalam masa yang sama Kamal meminta supaya Kesatuan Sekerja turut memainkan peranan memantau mana-mana majikan yang tidak mematuhi perintah pembayaran gaji minimum.

“Lapor kepada JTK jika ada majikan yang tidak membayar gaji minimum supaya tindakan susulan dapat diambil,” tegasnya.

Menurut Kamal, kombinasi tiga pihak iaitu pekerja, Kesatuan Sekerja dan Kerajaan amat penting bagi mengesan majikan-majikan yang gagal mematuhi perintah pembayaran gaji minimum.

Dalam perkembangan lain Kamal berkata, kadar pengangguran di Sabah agak tinggi jika dibandingkan di negeri-negeri di Semenanjung.

Katanya, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Perangkaan Negara Malaysia, kadar pengangguran di Sabah adalah melebihi 54 peratus.

Mengenai dengan Karnival Pekerjaan yang telah dijalankan di lokasi-lokasi terpilih iaitu Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau yang telah bermula sejak 2 September lepas, Kamal berkata, lebih 6000 kekosongan pekerjaan telah ditawarkan oleh pihak majikan dan penyedia latihan yang mengambil bahagian dalam karnival itu.

Katanya,daripada kekosongan itu sebanyak 1300 telah diisi membabitkan empat lokasi iaitu Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu dan Ranau.

“Kita berharap jumlah itu akan bertambah dengan bilangan pencari pekerjaan di Keningau yang menjadi lokasi terakhir Kembara Kerjaya yang berlangsung selama lima hari,” katanya.

 
By :
 
New Sabah Times