Jasida Jupiri ambil peluang berlatih semasa beriadah bersama keluarga

 

PENULIS lirik dan penyanyi Jasida Jupiri tidak melepaskan peluang cuti persekolahan baru-baru ini dengan aktiviti beriadah bersama keluarga.

Menerusi akaun Facebooknya, Jasida memuat naik gambar-gambar dan juga rakaman video bersama suami dan anak-anak mereka ketika mendaki tangga Gonipis, di Kampung Tudan, Ranau.

Jasida memberitahu dia mengambil peluang keemasan bersama keluarga tersayang sempena cuti persekolahan baru-baru ini memandangkan mereka sekeluarga jarang berkesempatan bersama terutamanya dengan anak sulung dan kedua yang bersekolah dan tinggal di asrama.

“Cuti sekolah semakin hampir ke penghujung, jadi saya mengambil kesempatan ini bersama mereka. “Sebenarnya mengikut perancangan awal, kami bercadang untuk mendaki Bukit Mantanoi (Apin-Apin) tetapi terpaksa menukar destinasi di saat akhir dengan memilih Kampung Tudan, Ranau,” katanya.

Menurut Jasida, suaminya mencadangkan Kampung Tudan memandangkan lokasinya yang dekat dengan kampung mereka selain sebuah pusat riadah yang baharu diwujudkan.

Kami juga berkesempatan singgah di Air Terjun Mahua (Tambunan) untuk berehat tengahari sambil menikmati keindahan panorama indah dan tenang di situ, tambahnya.

Menurutnya lagi, selain ingin meluangkan masa bersama keluarga, Jasida juga menggunakan masa terluang itu untuk berlatih dan mengekalkan tenaga sebagai persediaan membuat persembahan pada Konsert Artis Sabah sempena Tahun Melawat Keningau, penghujung bulan ini.

“Saya agak sibuk dengan tugasan harian sehinggakan hampir tidak mempunyai masa untuk berlatih.

“Oleh itu saya berasa masa terluang ini adalah sesuai untuk saya mengembalikan stamina dengan cara mengekalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Sekitar tahun 90-an, Jasida sudah bergiat aktif dalam penulisan lirik lagu berbahasa Murut selain sebagai artis rakaman.

Jasida juga mempunyai beberapa lagu dalam bahasa Murut dan sering didengar menerusi stesen-stesen radio tempatan.

 
By :
 
New Sabah Times