Polis temui mayat wanita dibunuh

 

OLEH AHMAD APONG

BEAUFORT: Pihak polis menemui mayat seorang wanita dalam lingkungan 40an di dalam semak dipercayai dibunuh pada selasa.

Ketua Polis Daerah DSP Azmir Abd Razak mengesahkannya di sini berkata mayat wanita itu ditemui di belakang rumah murah berdekatan ladang kelapa sawit.

Katanya pihak polis menerima aduan daripada seorang pengadu melalui telefon pada jam 3.30 petang yang ternampak mayat di dalam semak menuju ladang kelapa sawit.

Sepasukan anggota polis yang diketuai oleh ASP Akhiruddin Nowani dan Inspektor Matnor Lamit telah digegaskan ke tempat penemuan mayat wanita itu.

Hasil dari siasatan awal, pihak polis percaya wanita tersebut telah dibunuh kurang daripada 24 jam yang lalu. “Polis juga mendapati kepala wanita tersebut cedera parah dan berikutan itu juga polis menemui sebatang besi yang dipercayai digunakan untuk membunuh wanita berkenaan,” katanya.

“Polis percaya wanita itu berbangsa Suluk dan berikutan kejadian itu pihak polis telah menahan suami wanita berkenaan beberapa jam selepas penemuan mayat isterinya dan motif pembunuhan masih dalam siasatan Polis,” kata DSP Azmir

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu polis.

Mereka boleh menghubungi polis di talian 087-211222 atau berjumpa terus dengan ASP Nowani.

 
By : AHMAD APONG
 
New Sabah Times