Semua anggota LPP disaran amal budaya kerja cemerlang

 

KOTA KINABALU: Semua anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah di semua peringkat disaran supaya mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi mencapai wawasan LPP iaitu menjadi peneraju pembangunan pertubuhan peladang yang unggul dan cemerlang.

Ketua Pengarah LPP Malaysia Dato’ Haji Abd. Rahim Haji Ahmad berkata budaya kerja cemerlang dan kualiti kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi terutamanya sektor awam amat penting bagi memastikan pelaksanaan semua program dan projek berjalan lancar.

Katanya, peranan LPP ialah melaksanakan program dan projek selaras dengan polisi kerajaan dalam bidang pertanian dan pembangunan luar bandar termasuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Oleh itu saya yakin Hari Kualiti ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bukan sahaja menjadikan tempat kerja yang ceria dan bersih tetapi memastikan para pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kita.

“Saya berharap LPP akan terus berusaha menjadi sebuah organisasi yang cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kualiti LPP Sabah di Dewan Plumbago KWSP, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah LPP Negeri Haji Md.Zahari Abdullah, Pengarah LPP Wilayah Persekutuan Labuan Maad Tazri Ngah Zakariah, pengurus-pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan anggota LPP Sabah.

Pada majlis itu Abd.Rahim turut me-nyampaikan 11 anugerah kualiti LPP Sabah 2008. Antara anugerah itu ialah Anugerah Pasukan Terbaik, PPK Indah Bersih, Perusahaan Kecil dan Sederhana Terbaik, 10 perkhidmatan terbaik, Per-niagaan Input Pertanian, Pengurusan Projek Padi, Projek Ternakan dan Anu-gerah Pengurusan Projek Sayur-Sayuran Terbaik.

Abd.Rahim berkata, dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan banyak cabaran yang akan dihadapi termasuk memenuhi tuntutan pelanggan atau orang ramai.

“LPP juga bertanggungjawab besar bagi memastikan bekalan makanan ne-gara mencukupi. Melalui sekuriti ma-kanan kerajaan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk menjamin negara kita cukup bekalan. Dan di bawah program ini LPP diberi tugas yang besar dalam industri padi.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menyediakan peruntukan RM315 juta sebagai geran bantuan jentera kepada petani dalam usaha mening-katkan hasil keluaran makanan negara, khususnya padi.

“Selain itu para petani juga diberikan bantuan baja dan racun untuk memastikan hasil keluaran padi dapat dipertingkatkan,” katanya.

Dengan itu beliau berharap semua anggota LPP Sabah dapat berusaha bersunguh-sungguh memastikan semua program dan projek LPP terutamanya penanaman padi dapat dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu Md.Zahari berkata, sambutan Hari Kualiti LPP membuktikan pihak pengurusan amat menghargai tugas dan khidmat yang diberikan oleh anggota ke arah kecemerlangan organisasi.

“Selain itu ia juga membuktikan pihak pengurusan amat peka dan prihatin mempertingkakan lagi kualiti dan produktiviti serta mendorong anggota LPP di semua peringkat supaya lebih bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan.

“Saya berharap melalui aktiviti seperti ceramah, penganugerahan kualiti akan dapat memupuk dan meningkatkan lagi kesedaran kerja yang berkualiti,” katanya.

Terdahulu itu, Pengarah Intan Sabah Haji Muhammad Mantek menyampaikan ceramah 5s.

 
By : Oleh Marryan Razan
 
New Sabah Times